
Cadangan bagi menghadkan kemasukan motosikal ke lebuh raya perlu dibincangkan secara praktikal dan teliti bagi menilai keberkesanannya serta kesan terhadap pengguna lain sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, walaupun pelbagai cadangan boleh dikemukakan, pelaksanaannya perlu dilihat dari sudut kebolehlaksanaan serta impak sebenar di lapangan.
“Ada macam-macam cadangan yang dikemukakan termasuk dari pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tetapi sama ada ia praktikal atau tidak, itu yang perlu dilihat,” katanya mengulas cadangan pergerakan motosikal di lebuh raya dihadkan mengikut masa atau kapasiti tertentu.

Tambah beliau, antara yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada cadangan tersebut memberi kesan kepada pengguna lain yang benar-benar memerlukan melalui lebuh raya untuk ke destinasi masing- masing.
Bagaimanapun, Anthony menjelaskan bahawa perkara tersebut bukan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa MOT sebaliknya melibatkan Lembaga Lebuhraya (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pengendali lebuh raya.
“Kita tahu mungkin ada kebaikan dia demi keselamatan terutamanya untuk menghindarkan lebuh raya ini menjadi medan lumba haram,” jelas beliau.
Sebelum, media tempatan melaporkan penunggang motosikal terus menjadi korban tertinggi dengan hampir 3,000 kes dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan kelajuan tunggang cuai dan pelanggaran peraturan jalan raya menjadi punca angka kematian meningkat saban tahun.




























