
Kajian terbaharu oleh Benchmark Mineral Intelligence mendapati angka jualan kenderaan elektrik (EV) meningkat di peringkat global untuk tahun 2025.
Secara keseluruhan, permintaan terhadap EV melonjak 20 peratus kepada 20.7 juta unit dengan China kekal sebagai pasaran terbesar menyumbang kepada lebih separuh jualan global.
Di Eropah pula, data daripada Persatuan Pengeluar Automotif Eropah (ACEA) menunjukkan buat pertama kalinya jualan EV mengatasi jualan kereta petrol di 27 negara Kesatuan Eropah (EU) pada bulan lepas.
Sepanjang tempoh tersebut, EV menguasai 22.6 peratus pegangan pasaran, mengatasi kereta petrol dengan kelebihan tipis 0.1 peratus.
Apabila digabungkan dengan pasaran United Kingdom dan negara EFTA (Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland), EV menguasai 26.3 peratus pasaran pada Disember mengalahkan kereta petrol (21.7 peratus).
Namun bagi tempoh 12 bulan, jualan bagi kenderaan ICE petrol tulen masih mendahului dengan pegangan pasaran 26.1 peratus, berbanding 19.5 peratus untuk EV di rantau EU, UK dan EFTA.
Untuk perbandingan, jualan kereta petrol merudum 6.9 peratus manakala jualan EV pula meningkat 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2024.
Hibrid pula menjadi pilihan utama di Eropah dengan pegangan pasaran sebanyak 34.4 peratus.
Kereta plug-in hybrid pula mencatat sejarah apabila berjaya mengatasi jualan kenderaan diesel buat pertama kali, dengan penguasaan pasaran sebanyak 9.6 peratus berbanding diesel 7.7 peratus.































