
L ima beranak termasuk seorang bayi berusia lima bulan terpaksa menjadikan kereta sebagai tempat berlindung selepas kehilangan tempat tinggal.
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkongsi di akaun Facebook menjelaskan keluarga itu tinggal di dalam kereta selama empat malam selepas bapa mereka kehilangan pekerjaan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah.
Pemuda berkenaan kehilangan pekerjaan selepas majikannya mengetahui dia merupakan bekas banduan.
Keadaan itu menyebabkan sumber pendapatannya terjejas sekali gus menyukarkannya untuk meneruskan bayaran sewa rumah,” jelasnya.

Menurut MAINS, lelaki itu sebelum ini melakukan dua pekerjaan bagi menyara keluarganya.
“Ayah ini sebenarnya bukan orang yang tidak berusaha. Dia bekerja dua pekerjaan, siang memandu lori, malam membantu di gerai burger.
“Semua itu demi tiga orang anak kecilnya. Seorang daripadanya anak autisme berusia empat tahun,” katanya.
Jelasnya, lelaki berkenaan tampil sendiri ke pejabat MAINS bagi memohon bantuan untuk meneruskan kehidupan.
Justeru itu, pasukan MAINS dari cawangan Nilai segera turun padang menyantuni keluarga tersebut.
“Hari ini mereka tidak lagi tidur di dalam kereta. Keluarga ini telah dibawa ke Rumah Transit MAINS sementara waktu.
“Menerusi amanah zakat, MAINS juga akan membantu deposit rumah sewa baharu, bayaran sewa sehingga enam bulan dan bantuan kewangan segera, supaya keluarga kecil itu boleh berdiri semula,” ujarnya.





























