
TQ WULING merekodkan satu lagi pencapaian penting apabila menyerahkan kumpulan pertama model elektrik TQ WULING Bingo EV kepada pelanggan di Malaysia.
Majlis penyerahan itu menggambarkan permintaan awal memberangsangkan serta keyakinan pengguna terhadap jenama berkenaan.
Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd, Wan Wei Sun berkata, penyerahan kenderaan dihasilkan mereka bukan sekadar menyerahkan, sebaliknya melambangkan kepercayaan pelanggan terhadap perjalanan mobiliti elektrik dibawa syarikat itu.
Menurutnya, pelanggan memilih model berkenaan kerana gabungan reka bentuk menarik, praktikaliti serta kos pemilikan berpatutan untuk kegunaan harian.
Seorang pemilik awal, Intan berkata, reka bentuk retro moden model itu menarik minatnya sejak awal lagi, selain pengalaman pemanduan responsif dan mudah dikendalikan di kawasan bandar.

Katanya, sokongan penyelenggaraan tersedia turut memberi keyakinan untuk memiliki EV tersebut.
Seorang lagi pemilik, Christine turut memuji ruang kabin luas serta sistem penyaman udara yang sesuai dengan cuaca tempatan, selain pengendalian begitu baik untuk kegunaan harian.
ADAS kini ciri standard
Seiring dengan penyerahan pertama itu, TQ WULING turut mengumumkan bahawa model TQ WULING Bingo EV yang dipasang secara tempatan kini dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) sebagai ciri standard bagi kedua-dua variannya.

Antara ciri keselamatan disertakan ialah amaran titik buta, bantuan pertukaran lorong, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang, amaran pejalan kaki kelajuan rendah serta amaran pintu dibuka.
Turut disertakan sistem pemantauan tekanan tayar, pengelap automatik pengesan hujan, fungsi kunci automatik serta sistem buka pintu automatik selepas impak.
Selain itu, struktur badan kenderaan menggunakan keluli tegangan tinggi dan dilengkapi enam beg udara, dengan Malaysia menjadi pasaran pertama menerima konfigurasi keselamatan tambahan tersebut.
Direka untuk mobiliti bandar
Model ini dipasang di kemudahan pengeluaran milik Tan Chong Group di Segambut dan direka khusus untuk mobiliti bandar dengan dimensi kompak serta ruang dalaman praktikal.
Ia menawarkan sehingga 15 ruang simpanan dan kapasiti but fleksibel yang boleh mencecah 1,240 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Bahagian kabin pula menampilkan konsol tengah terapung bersama dua skrin digital 10.25 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.
Pilihan warna luaran termasuk Milky White, Neon Blue dan Lavender Purple dengan bumbung hitam kontras.
Bagi prestasi, varian PRO menawarkan jarak pemanduan sehingga 333 kilometer (CLTC), manakala varian MAX mampu mencapai sehingga 410 kilometer dengan sekali cas.
Bateri diuji keselamatan ekstrem
Kenderaan ini dikuasakan bateri MAGIC EV milik SGM Wuling yang dibangunkan dengan sistem keselamatan tinggi.
Bateri tersebut telah melalui pelbagai ujian ekstrem termasuk hentakan, tekanan, pendedahan api, rendaman air serta tekanan haba.

Ia turut mempunyai penarafan IP68 bagi ketahanan habuk dan air serta rekod keselamatan yang kukuh merangkumi lebih tiga juta EV jenama Wuling di seluruh dunia tanpa insiden kebakaran atau letupan.
Pakej pemilikan awal
Bagi pelanggan awal, TQ WULING turut menawarkan pakej pemilikan ‘Bingo EV Fabulous 5’ yang merangkumi rebat tunai RM5,000, menjadikan harga atas jalan RM62,800 bagi Bingo PRO dan RM67,800 untuk Bingo MAX.
Pakej tersebut turut merangkumi jaminan bateri EV selama lapan tahun atau 120,000km serta jaminan motor pemacu lapan tahun atau 160,000km, selain ansuran bulanan serendah RM625 melalui institusi kewangan terpilih.

Pelanggan juga menerima pengecas rumah 7kW percuma bersama pengecas mudah alih 3-pin, pakej tinted solar premium TQ serta perlindungan insurans komprehensif dengan 17 manfaat khusus EV.
Ketika ini, enam bilik pameran khusus jenama itu beroperasi di Glenmarie, Jalan Raja Laut, OUG, Melati Utama, Butterworth dan Johor Jaya, selain rangkaian pusat servis di bawah kumpulan Tan Chong Group bagi menyokong keperluan pelanggan.
Syarikat itu dijangka terus memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan dalam tempoh terdekat bagi menyokong pertumbuhan permintaan terhadap model tersebut di Malaysia.





























