
Jenama kenderaan elektrik di bawah Tan Chong Group, TQ WULING hari ini melancarkan van komersial elektrik sepenuhnya, Porta EV, yang dibangunkan khusus untuk membantu pengusaha perniagaan mengurangkan kos operasi dalam sektor logistik dan penghantaran.
Menampilkan dua pilihan varian jarak perjalanan, Porta EV ditawarkan pada harga bermula RM99,800 bagi varian 300km dan RM105,800 bagi varian 400km untuk pasaran Semenanjung Malaysia.
Bagi pasaran Malaysia Timur, harga jualan adalah RM102,800 (300km) dan RM108,800 (400km). Semua harga adalah atas jalan tanpa insurans bagi pendaftaran atas nama syarikat.

Dibangunkan sebagai kenderaan kerja serba boleh, Porta EV menawarkan ruang kargo seluas 6.5 meter padu dengan dimensi 2,830mm x 1,680mm x 1,365mm. Varian 400km mampu membawa muatan maksimum sehingga 1,105 kilogram.
Dari segi praktikaliti, ia dilengkapi pintu gelangsar di sisi dan pintu belakang jenis barn door yang boleh dibuka sehingga 270 darjah, selain ketinggian lantai pemuatan hanya 595mm bagi memudahkan proses memuat dan memunggah barangan.
Van ini digerakkan oleh motor elektrik silikon karbida (SiC) berkuasa 75kW dan tork 180Nm, dipadankan dengan sistem bateri MAGIC EV WULING yang menggunakan struktur modular bagi memudahkan kerja pembaikan dan penggantian sel.
Untuk pengecasan, varian 400km hanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan pantas DC dari 30 hingga 80 peratus, manakala varian 300km mengambil masa 30 minit.
Pengecasan AC dari 20 hingga 80 peratus pula mengambil masa 6.75 jam (400km) dan 5.15 jam (300km).
Menariknya, TQ WULING mendakwa kos penyelenggaraan Porta EV untuk tempoh lima tahun adalah kurang daripada RM2,000, sekali gus menjimatkan hampir 65 peratus berbanding van komersial berenjin diesel konvensional. Interval servis ditetapkan setiap enam bulan atau 10,000km.
Dari segi keselamatan, Porta EV dilengkapi:
- dua beg udara hadapan
- ABS
- EBD
- ESC
- kawalan cengkaman
- bantuan mula mendaki
- amaran pejalan kaki pada kelajuan rendah
- kamera undur
- sensor parkir
Ruang kabin pula tampil praktikal dengan:
- paparan instrumen TFT 3.5 inci
- sistem penyaman udara elektronik
- sistem infotainmen 8 inci dengan sambungan Bluetooth, MP3 dan USB
Bagi ketenangan minda pemilik, Porta EV hadir dengan jaminan kenderaan selama lima tahun atau 120,000km, jaminan motor pacuan, bateri EV dan BMS selama lima tahun atau 200,000km, serta jaminan sel bateri selama enam tahun atau 300,000km.

Sokongan selepas jualan disediakan melalui rangkaian Tan Chong Ekspres Auto Servis yang mempunyai 28 pusat servis di seluruh negara.
Tempahan kini dibuka melalui laman web rasmi http://tqwuling.my atau di bilik pameran TQ WULING dengan bayaran RM500.
Pelanggan terawal akan menerima pakej early–bird bernilai lebih RM3,500 termasuk pengecas dinding 7kW, pengecas mudah alih tiga pin dan penyelenggaraan percuma sehingga 60,000km atau tiga tahun.
Orang ramai berpeluang melihat sendiri Porta EV di bilik pameran terpilih pada 17 dan 18 Oktober ini.
GALERI TQ WULING Porta EV












































