
Kumpulan Tan Chong Motor dan SAIC-GM-Wuling (SGMW) memperkukuh perkongsian strategik menerusi perjanjian kerjasama bagi memacu lokalisasi bateri kenderaan elektrik (EV) di Malaysia di bawah jenama TQ.
Perjanjian berkenaan dimeterai pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 yang berlangsung pada 17 September lalu di Nanning, Guangxi, dan menjadi antara inisiatif utama terawal di bawah Strategi Global 5 yang baru diumumkan SGMW.
Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem rantaian bekalan setempat di Malaysia, bermula dengan lokalisasi dan pemasangan CKD bateri EV, di samping menyokong pengembangan keupayaan pengeluaran serta integrasi rantaian bekalan SGMW di seluruh ASEAN.
Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan Pengarah Pemasaran dan Perkhidmatan Liuzhou Saike Technology SGMW, Liu Zhijun dan Ketua TQ WULING, Wan Wei Sun bagi pihak Kumpulan Tan Chong Motor.
Menurut kenyataan bersama, kerjasama terbaharu itu merupakan kesinambungan kepada perkongsian sedia ada antara kedua-dua pihak menerusi TQ WULING.
Menerusi lokalisasi pengeluaran bateri EV, perkongsian berkenaan bakal memperkukuh keupayaan Malaysia dalam sektor kenderaan tenaga baharu (NEV), selain menandakan fasa seterusnya pembangunan TQ WULING di pasaran tempatan.
Ia juga dijangka meningkatkan keyakinan pengguna terhadap komitmen jangka panjang jenama tersebut dalam memenuhi keperluan mobiliti di Malaysia.
Perjanjian itu turut menyasarkan untuk memperkukuh penyertaan Malaysia dalam ekosistem EV serantau, memperkuatkan kedudukan SGMW di Malaysia dan ASEAN, serta menyokong kerjasama industri rentas sempadan yang lebih erat antara China, Malaysia dan rantau ASEAN.
Perjanjian Malaysia itu diumumkan seiring pelancaran rasmi Strategi Global 5 SGMW di CAEXPO yang bertemakan Global Wuling, Shining Across ASEAN.
Strategi tersebut menggariskan peralihan SGMW daripada sekadar pengeksport kenderaan kepada pembangunan ekosistem automotif global yang lebih komprehensif, merangkumi pembuatan, rantaian bekalan, jualan, bakat dan keupayaan kewangan.
SGMW merekodkan pengeluaran dan jualan global kumulatif melebihi 32 juta kenderaan, termasuk lebih empat juta kenderaan tenaga baharu, manakala eksport luar negara syarikat itu meningkat selama 10 tahun berturut-turut dengan jumlah kumulatif melebihi 1.6 juta kenderaan.
Di bawah Strategi Global 5, SGMW akan memanfaatkan lima kekuatan utama iaitu :
- portfolio produk komprehensif
- sistem teknologi “Tian-Ling-Shen”
- Sistem Pembuatan Pulau Pintar (I²MS)
- ekosistem industri lima rantaian diselaraskan
- pengalaman pembuatan automotif selama 68 tahun
Syarikat itu juga akan menawarkan lima model kerjasama antarabangsa fleksibel meliputi perdagangan, pengedaran, pengeluaran dan jualan, kerjasama rantaian industri penuh serta pelesenan teknologi bagi membolehkan rakan kongsi global mengadaptasi model yang sesuai dengan pasaran masing-masing.
Dengan ASEAN diletakkan sebagai pintu masuk strategik bagi pengembangan global SGMW, perkongsian bersama Kumpulan Tan Chong Motor di Malaysia dilihat sebagai langkah penting dalam menterjemah strategi tersebut kepada keupayaan industri tempatan.
Pada CAEXPO sama, SGMW bersama People’s Tribune dan pakar industri turut melancarkan laporan pemikir bertajuk Paradigma Baharu Pembuatan Hijau dan Kolaborasi Globalisasi Industri Automotif yang menggariskan evolusi industri automotif China ke arah kerjasama antarabangsa lebih mendalam.
Melangkah ke hadapan, kedua-dua pihak akan terus meneroka peluang untuk memperdalam usaha lokalisasi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem automotif ASEAN dan global SGMW yang kian berkembang.
































