Utama Berita Automotif Honda Civic Type R 2027 diperkenal di A.S, banyak ciri baharu termasuk...

Honda Civic Type R 2027 diperkenal di A.S, banyak ciri baharu termasuk stereng dengan pemanas

10

Honda memperkenalkan Civic Type R 2027 untuk pasaran Amerika Syarikat dengan peningkatan pada aspek prestasi, sistem suspensi, keselesaan kabin dan teknologi standard.

Civic Type R 2027 mula dijual di AS bulan ini pada harga AS$48,695 (RM198,919) sebelum kos penghantaran.

Penawarannya serentak dengan sambutan ulang tahun ke-30 jentera tersebut di peringkat global, serta tahun ke-10 di Amerika Utara.

Hamburan 315 hp mengekalkan kedudukannya sebagai jentera pengeluaran Honda paling berkuasa pernah dijual di sana.

Prestasi dan Aerodinamik Dipertingkat

Civic Type R 2027 menerima reka bentuk bampar hadapan baharu yang lebih agresif bersama bukaan jeriji lebih besar.

Reka bentuk ini mengurangkan gelora dan meningkatkan kelajuan aliran udara untuk membantu penyejukan enjin, sekali gus menyokong prestasi ketika pemanduan di litar.

Pemisah hadapan yang lebih dalam pula meningkatkan daya mendap.

Honda turut membuat talaan baharu pada suspensi bagi memperkemas mod +R.

Redaman kini diserap dengan lebih baik, membolehkan tayar kekal mencengkam permukaan jalan serta mengurangkan lantunan.

Sistem Rev Match juga dipertingkatkan dengan tindak balas enjin yang lebih pantas ketika penukaran gear rendah.

Selain itu, rasa pedal brek menjadi lebih langsung melalui penggunaan yoke spring pada pedal brek sekali gus mengurangkan play atau gerakan longgar.

Penutup enjin turut direka semula dengan gaya yang lebih menyerupai enjin Civic Type R generasi awal yang dijual di Jepun.

Kerusi Hadapan Kini Dengan Pemanas

Buat kali pertama, Civic Type R menerima kerusi sport hadapan yang dilengkapi fungsi pemanas. Sistem pemanas tiga tahap ditempatkan berdekatan kawalan pendingin hawa.

Balutan suede merah bergeseran tinggi kini tampil dengan corak tebukan baharu serta kemasan jalur hitam.

Bahan itu membantu mengurangkan pergerakan badan ketika daya-G tinggi, selain meningkatkan pengudaraan di kawasan sentuhan tinggi bagi membantu mengurangkan keletihan pemandu.

Kabin turut menerima panel kemasan corak berlian dengan bingkai hitam, tombol corong udara berwarna hitam serta Ultrasuede pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu hadapan.

Balutan Ultrasuede pada papan pemuka turut membantu mengurangkan silau dan pantulan pada cermin hadapan.

Kemasan tombol gear aluminium, pemegang pintu dalaman dan kemasan konsol kini menggunakan warna kelabu gelap.

Tombol kawalan pendingin hawa berwarna hitam dan kemasan panel pintu hadapan berwarna perak turut ditambah.

Cermin pandang belakang jenis malap automatik juga menjadi kelengkapan baharu.

Lebih Banyak Teknologi Standard

Civic Type R 2027 kini dilengkapi Google built-in buat kali pertama, termasuk Google Gemini, Google Maps dan Google Play.

Selain itu, sistem Alexa built-in turut menjadi kelengkapan standard.

Integrasi Google Gemini kini membolehkan pemandu berinteraksi secara lebih semula jadi tanpa hilang konteks perbualan, sekali gus memastikan tumpuan kekal pada pemanduan.

Dua port USB-C turut ditambah pada konsol tengah di atas pengecas telefon tanpa wayar standard.

Honda Sensing Dipertingkat

Honda Civic Type R 2027 turut menerima peningkatan pada rangkaian sistem keselamatan dan bantuan pemanduan Honda Sensing.

Sistem brek mitigasi pelanggaran dengan pengesanan pejalan kaki kini mempunyai penglihatan sistem yang lebih baik terhadap motosikal dan basikal.

Sistem Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) kini menerima tindak balas brek dan pecutan yang dipertingkatkan.

Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS) mendapat kawalan lebih baik terhadap kecondongan jalan (road camber) dan gangguan lain untuk operasi yang lebih lancar.

Buat kali pertama, setiap Civic Type R 2027 turut dilengkapi Sistem Brek Pasca-Pelanggaran (PCB) bagi membantu mengurangkan kerosakan akibat pelanggaran berantai.

Kelengkapan standard Honda Sensing merangkumi:

  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Mitigasi Tersasar Laluan (RDM)
  • Amaran Tersasar Laluan (LDW)
  • Sistem Maklumat Titik Buta (BSI)
  • Pemantau Lintasan Trafik (CTM)
  • Pemantau Perhatian Pemandu (Driver Attention Monitor)
  • Pengecaman Isyarat Trafik (TSR)
  • Lampu Tinggi Automatik (AHB)

Empat Pilihan Warna

Civic Type R 2027 ditawarkan dalam empat warna luaran, termasuk warna baharu Meteorite Gray Metallic.

Pilihan lain ialah Boost Blue Pearl, Sonic Gray Pearl dan Championship White.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here