Utama Berita Automotif Kuhl Racing perkenal kit badan ‘Ultra-Wide’ buat Nissan Skyline GT-R R32 dan...

Kuhl Racing perkenal kit badan ‘Ultra-Wide’ buat Nissan Skyline GT-R R32 dan R34!

1

Rumah talaan terkenal dari Jepun, Kuhl Racing kini sedang giat menyiapkan beberapa model khas untuk pameran Tokyo Auto Salon 2027. 

Di bawah projek terbaharu “All Nissan Project”, mereka bakal membawakan kit badan lebar untuk model ikonik Skyline GT-R R32 dan R34.

Kit badan serba baharu ini mengimbau kembali budaya modifikasi awal era 2000-an, sekali gus membangkitkan nostalgia pilihan kustomisasi dalam siri permainan video legenda, Need for Speed: Underground.

Kedua-dua jentera sports Jepun ini dipadankan dengan rim aloi bersaiz besar rekaan tujuh jejari—dengan kemasan kelabu gelap pada R32, manakala kemasan emas menjadi pilihan buat R34.

Bagi kedua-dua model, sentuhan aerodinamik merangkumi splitter hadapan yang tajam, side skirt, diffuser belakang dengan sirip aerodinamik, serta sayap belakang serupa yang dilengkapi plat hujung bersudut tajam.

Namun, tarikan utama sudah tentu terletak pada sambungan fender berkotak dengan liang udara terbina dalam, sejajar dengan gelaran Ultra-Wide yang dibawa pakej penggayaan ini.

Model R34 menerima bampar hadapan rekaan semula dengan corong pengambilan udara yang lebih moden, manakala R32 pula tampil dengan potongan yang lebih tajam pada fender belakang.

Dalam lakaran digital ini, kedua-dua model dilayangkan warna perak, namun masih belum dipastikan sama ada unit prototaip fizikal kelak akan menggunakan warna yang berbeza.

Pihak Kuhl tidak memperincikan sama ada prototaip R32 dan R34 ini akan menerima sebarang naik taraf prestasi bagi memadankan penampilan agresifnya, selain daripada corong ekzos bersaiz lebih besar yang jelas kelihatan pada lakaran tersebut.

Apa yang pasti, imej berkenaan menunjukkan kedua-dua GT-R ini direndahkan menggunakan suspensi talaan khas dengan jarak trek roda yang jauh lebih lebar.

Dalam keadaan standard kilang, kedua-dua generasi GT-R ini dijana oleh enjin legenda 2.6 liter enam silinder sebaris turbo berkembar (RB26DETT) yang secara rasminya ditala pada 276 hp (280 PS) susulan perjanjian tidak rasmi pengeluar kereta Jepun ketika itu.

Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda melalui kotak gear manual lima kelajuan pada R32, dan manual enam kelajuan pada R34.

Ini bukanlah kali pertama Kuhl mempersembahkan kit badan lebar  untuk keluarga GT-R.

Pada Tokyo Auto Salon 2024, syarikat ini pernah mendedahkan sebuah R35 GT-R yang diubah suai secara ekstrem dengan pakej widebody khas, kemasan warna Elegant Gold, serta rim aloi Verz-Krone.

Malah pada tahun 2016, Kuhl pernah mencetuskan fenomena menerusi GT-R berukir emas dengan kuasa 820 hp, yang kemudiannya dijual di Dubai pada harga mencecah AS$550,000 (sekitar RM2.45 juta).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here