Utama Berita Automotif Volvo tawar 80 unit kereta terpakai premium harga serendah RM148,000

Volvo tawar 80 unit kereta terpakai premium harga serendah RM148,000

4

Volvo Car Malaysia menganjurkan semula program Volvo Executive Car Sales pada 10 dan 11 Oktober ini, dengan menawarkan sehingga 80 unit kenderaan terpakai premium yang diperakui pada harga lebih kompetitif.

Acara jualan selama dua hari itu akan berlangsung di Aras 3A, Symphony Square, Petaling Jaya, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, menampilkan pelbagai model dari armada korporat Volvo Car Malaysia termasuk beberapa unit eksklusif dan model generasi baharu.

Menerusi program Volvo Selekt Certified Used Cars, kenderaan ditawarkan pada harga bermula serendah RM148,000, sekali gus memberi peluang kepada pelanggan memiliki kenderaan Volvo pada nilai lebih berpatutan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti dan pengalaman pemilikan premium.

Menurut Volvo Car Malaysia, setiap kenderaan ditawarkan telah menjalani pemeriksaan menyeluruh melibatkan 125 titik semakan oleh juruteknik bertauliah Volvo, selain menerima kemas kini perisian terkini dan menggunakan alat ganti tulen bagi memastikan prestasi optimum.

Menariknya, kebanyakan unit yang bakal dijual mempunyai perbatuan rendah, dengan unit terendah merekodkan hanya sekitar 2,000 kilometer.

Setiap pembelian turut didatangkan dengan baki waranti lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam, perkhidmatan sambungan digital Volvo serta pelan servis yang menawarkan sekurang-kurangnya setahun penyelenggaraan percuma.

Bagi model elektrifikasi, pemilik baharu akan turut menikmati baki perlindungan waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun.

Bagi memudahkan urusan pembelian, Volvo Car Finance turut menawarkan pakej pembiayaan dengan kadar faedah serendah dua peratus serta kelulusan pinjaman pada hari yang sama.

Antara model yang bakal ditawarkan termasuk Volvo EX30, EC40, XC60, XC90, ES90 dan EX90, merangkumi pilihan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan SUV plug-in hybrid yang popular dalam rangkaian Volvo.

Dengan jumlah unit terhad kepada 80 buah sahaja sepanjang acara berlangsung, Volvo menjangkakan sambutan tinggi daripada pembeli yang ingin memiliki kenderaan spesifikasi eksekutif pada harga lebih menarik.

Orang ramai yang berminat disaran membuat pendaftaran awal bagi mendapatkan slot temujanji sebelum acara berlangsung.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here