
BYD Dynasty mencapai pengeluaran ke-10 juta di China menerusi sedan perdana Da Han. Pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Shenzhen itu mengambil masa selama 13 tahun untuk mencapai kejayaan berkenaan.
Produk Dynasty merupakan barisan teras kenderaan plug in hibrid (PHEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV) yang dinamakan sempena dinasti pemerintahan China Purba.
Model siri Dynasty yang pertama memasuki pasaran domestik pada Ogos 2013 adalah BYD Qin yang menggunakan sistem PHEV DM bersama bateri LFP 13 kWh.
Selepas 13 tahun, siri Dynasty kini merangkumi enam barisan model iaitu Tang, Han, Qin, Song, Yuan dan Xia. Ia merangkumi 27 kenderaan secara keseluruhan (termasuk tahun model yang berbeza).
Pada 29 September, pihak pegawai BYD berkongsi bahawa kereta siri Dynasty ke-10 juta telah keluar daripada barisan pengeluaran. Ia merupakan sedan Da Han, yang juga dikenali sebagai Great Han.
BYD berkongsi bahawa jualan terkumpul siri Dynasty telah berkembang daripada 8.86 juta unit pada Januari 2026 kepada sekitar 10 juta unit menjelang September 2026.
Siri ini turut dinyatakan sebagai pemacu utama kepada jualan jenama berkenaan. Dynasty menyumbang kira-kira 9 juta unit manakala siri Ocean sekitar 6 juta unit daripada 15 juta kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama yang dijual oleh BYD.




