
Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi Honda City Hatchback baharu, sekali gus melengkapkan rangkaian model City selepas pelancaran City Sedan baru-baru ini.
Model hatchback segmen-B itu tampil dengan pembaharuan menyeluruh membabitkan reka bentuk, teknologi ketersambungan dan ciri keselamatan, bagi memenuhi keperluan gaya hidup pengguna bandar yang mementingkan gaya dan praktikaliti.
Dari segi luaran, model ini menampilkan rekaan lebih sporty dan moden menerusi rekaan bampar hadapan yang lebih tajam dan kemas, selain lampu utama baharu yang disambungkan secara visual untuk identiti lebih premium.
Penampilan tersebut diperkukuh dengan rekaan rim aloi dikemas kini, dengan varian RS menerima rim dua tona 16-inci dengan kemasan Berlina Black dan Dark Clear.
Ruang dalaman turut menerima sentuhan baharu yang meningkatkan suasana premium.
Antara pembaharuan ketara ialah kemasan papan pemuka dengan corak tiga dimensi serta pencahayaan ambien yang memberikan pengalaman lebih eksklusif.
Sistem infotainmen kini menggunakan skrin Display Audio bersaiz 10-inci dengan rekaan terapung, yang menawarkan paparan lebih jelas dan operasi lebih mesra pengguna.

Dari aspek praktikaliti, model itu masih mengekalkan kelebihan utama menerusi tempat duduk ULTRA Seats yang menawarkan empat konfigurasi berbeza, membolehkan ruang kabin disesuaikan mengikut keperluan penumpang dan barangan.
Bagi varian tertinggi, City Hatchback baharu terus ditawarkan dengan sistem hibrid 1.5 liter e:HEV yang menghasilkan kuasa 109PS dan tork maksimum 253Nm, sekali gus mengekalkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api.
Sebagai tanda keyakinan terhadap teknologi hibridnya, Honda Malaysia turut memperkenalkan jaminan selama 10 tahun tanpa had perbatuan bagi bateri dan komponen hibrid.
Dari segi keselamatan, model berkenaan kini dilengkapi sistem Kamera Multi-View 360 darjah yang membantu pemandu memantau persekitaran ketika meletak kenderaan atau bergerak di kawasan sempit.
Turut dimuatkan ialah ciri Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitoring (CTM) yang berfungsi meningkatkan kesedaran pemandu terhadap kenderaan di titik buta serta trafik yang menghampiri ketika mengundur.
Dalam perkembangan berkaitan, Honda Malaysia mengumumkan pelaksanaan pakej jaminan baharu selama lapan tahun tanpa had perbatuan untuk semua model Honda baharu, termasuk varian petrol dan hibrid, berkuat kuasa 1 September 2026.
Langkah itu, menurut Honda Malaysia, bertujuan memberikan perlindungan pemilikan jangka panjang serta ketenangan minda kepada pelanggan.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan City Hatchback baharu di semua pengedar sah Honda Malaysia di seluruh negara.
































