Utama Berita Automotif Honda City Hatchback baharu rasmi lancar, harga mula RM95,900

Honda City Hatchback baharu rasmi lancar, harga mula RM95,900

13

Honda Malaysia melancarkan model terbaharu City Hatchback baharu yang tampil dengan reka bentuk lebih sporty, ciri ketersambungan dipertingkat serta teknologi keselamatan menyeluruh untuk pasaran segmen-B.

Model tersebut ditawarkan dalam tiga varian melibatkan :

  • e:HEV RS : RM112,900
  • RS : RM100,900
  • V :  RM95,900

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata sejak diperkenalkan, model itu mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan tempatan, khususnya golongan profesional muda yang mementingkan gaya, individualiti dan kepelbagaian fungsi.

“City Hatchback baharu memperkenalkan sentuhan reka bentuk terkini, ketersambungan yang lebih baik dan pakej keselamatan lengkap bagi memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin berubah.

“Kami yakin penambahbaikan ini akan meningkatkan pengalaman pemilikan serta mengukuhkan kedudukan Honda Malaysia dalam segmen-B,” katanya dalam kenyataan hari ini.

City Hatchback tampil lebih berani dengan rekaan lampu hadapan bersepadu baharu yang menggabungkan Connected Headlights dan Bi-LED Headlights untuk semua varian di samping rim aloi dua tona 16 inci dengan kemasan Berlina Black manakala bagi varian RS menerima sentuhan Dark Clear dan Shark Gray untuk varian V.

Model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu:

  • Platinum White Pearl
  • Meteoroid Gray Metallic
  • Stellar Diamond Pearl
  • Blazing Red Pearl (warna baharu)

Bahagian kabin pula menerima penambahbaikan moden termasuk:

  • Hiasan tengah corak 3D
  • Lampu ambien
  • Kemasan tempat duduk sport dengan jahitan merah bagi varian RS
  • Sistem infotainmen bersaiz 10 inci
  • Pengecas tanpa wayar

Praktikaliti terus menjadi tunjang utama model ini menerusi kerusi ULTRA dengan empat mod konfigurasi iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh yang membolehkan ruang kabin disesuaikan mengikut keperluan harian dan aktiviti hujung minggu.

Dari aspek keselamatan, Honda Malaysia melengkapkan semua varian dengan ciri:

  • Blind Spot Information dengan Cross Traffic Monitoring
  • Honda LaneWatch dan Honda SENSING sebagai standard
  • Varian RS menerima tambahan Sistem Kamera Multi-Pandangan 360 darjah

City Hatchback baharu ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC dan 1.5 liter e:HEV yang menghasilkan kuasa 109PS dan tork 253Nm.

Untuk ketenangan minda pemilik, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan Bateri Hibrid 10–Tahun dengan perbatuan tanpa had untuk varian hibrid, serta waranti 8-tahun dengan perbatuan tanpa had bagi semua varian petrol dan hibrid.

Sempena pelancaran, Honda Malaysia menawarkan ganjaran tunai RM4,000 kepada pelanggan yang mendaftar  City Hatchback baharu.

Selain itu, pemilik sedia ada Honda yang menukar kenderaan melalui program Honda Certified Used Car terpilih layak menerima rebat RM2,000, manakala pelanggan yang menukar sebarang jenama kenderaan di pengedar sah Honda yang mengambil bahagian melalui kerjasama dengan CARSOME akan menerima rebat RM1,000.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan atau pandu uji di prebook honda atau mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here