Utama Berita Automotif Volvo buka pusat servis rasmi di Kuching

Volvo buka pusat servis rasmi di Kuching

6

Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan pembukaan rasmi fasiliti baharu Volvo Car Kuching yang beroperasi sebagai pusat 2S (servis selepas jualan dan alat ganti) di Jalan Pending, di sini.

Fasiliti berkenaan dikendalikan Sebangga Mitsinbo, anak syarikat kepada Sebangga Group, yang turut menguruskan pusat jualan Volvo di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut kenyataan Volvo, Sebangga Mitsinbo turut merancang untuk menaik taraf fasiliti tersebut kepada pusat jualan kenderaan rasmi dalam masa terdekat.

Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia & Thailand, Chris Wailes berkata, pembukaan pusat berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh rangkaian selepas jualan di seluruh negara.

“Hubungan dengan para pelanggan sangat penting bagi kami. Kami komited untuk memastikan rangkaian pusat servis kami sentiasa kukuh dan mudah diakses, dan tidak lama lagi dilengkapi dengan pusat jualan sepenuhnya di seluruh Malaysia.

“Membawa masuk Sebangga Mitsinbo ke Kuching memastikan pemilik kenderaan kami di Sarawak mendapat penjagaan terbaik tanpa kompromi, sekali gus menjadikan pusat ini sebagai salah satu tonggak utama dalam rangkaian nasional kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sebangga Group, Datuk Arif Ambrose Ng menyifatkan pembukaan di Kuching sebagai langkah penting dalam memperluas kehadiran syarikat di Sarawak.

“Kami amat berbangga dapat memperkukuhkan lagi kerjasama bersama Volvo Car Malaysia dan akhirnya melebarkan sayap Sebangga ke Sarawak.

“Kehadiran kami di sini membolehkan kami untuk terus menyantuni komuniti pemilik Volvo tempatan. Kami kini memberikan tumpuan penuh untuk menawarkan servis bertaraf tinggi, namun dalam masa yang sama, kami sangat teruja untuk mengubah ruang ini menjadi destinasi jualan yang lengkap pada masa hadapan,” katanya.

Pembukaan Volvo Car Kuching dijangka memberi kemudahan kepada pemilik kenderaan Volvo di Sarawak untuk mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan alat ganti tulen dengan lebih mudah dan efisien.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here