Utama Berita Automotif PROTON rekod jualan 40,000 unit e.MAS, perkenal inisiatif baru

PROTON rekod jualan 40,000 unit e.MAS, perkenal inisiatif baru

4

PROTON menerusi Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) merekodkan pencapaian 40,000 unit Proton e.MAS di jalan raya sejak diperkenalkan pada 2024, memperlihatkan perkembangan jenama itu dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia.

Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Salawati Mohd Yusoff berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka jualan, sebaliknya mewakili pemilik, keluarga dan pengalaman berbeza yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Proton e.MAS.

“Pencapaian 40,000 unit ini bukan sekadar mengenai angka, tetapi mewakili 40,000 individu, keluarga dan pengalaman berbeza yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Proton e.MAS.

“Dalam tempoh ini, kami turut melihat komuniti pemilik semakin aktif dan berkembang menerusi pelbagai program serta platform perkongsian pengalaman,” katanya ketika majlis penyerahan unit e.MAS ke 40,000 di Subang Jaya, semalam.

Menurut Salawati, komuniti pemilik e.MAS kini semakin aktif menerusi pelbagai aktiviti dan program di Lembah Klang, Johor, Melaka dan Pulau Pinang.

Antara program itu ialah sesi Teh Tarik bersama pemilik yang menghimpunkan hampir 1,000 peserta, selain komuniti Facebook rasmi Proton e.MAS yang menjadi platform perkongsian pengalaman dan maklum balas pemilik.

Sempena pencapaian itu, Proton e.MAS turut memperkenalkan beberapa inisiatif berkaitan penyelenggaraan, sokongan selepas jualan, aplikasi digital dan pengecasan.

Pemilik yang layak boleh menikmati tambahan rebat tukar beli sehingga RM1,000 melalui Carsome, manakala pelanggan yang mendapatkan servis sepanjang Oktober ditawarkan diskaun 10 peratus bagi servis dan penyelenggaraan.

PRO-NET turut meneruskan pembangunan juruteknik EV profesional bertauliah bersama MARA bagi memperkukuh kemahiran tempatan dalam menyokong pertumbuhan ekosistem EV.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pencapaian berkenaan menjadi peluang untuk syarikat meningkatkan sokongan kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan.

“Kami mahu pencapaian ini menjadi lebih daripada sekadar satu pencapaian. Ia adalah peluang untuk memberikan kembali kepada pelanggan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan e.MAS dengan menyediakan lebih banyak nilai sepanjang pengalaman pemilikan, termasuk sokongan selepas jualan, kemudahan pengecasan, ganjaran serta pembangunan bakat tempatan dalam ekosistem EV,” katanya.

Dari aspek digital, aplikasi Proton e.MAS turut menyediakan platform ganjaran kepada pemilik, manakala rangkaian pengecasan yang boleh diakses menerusi aplikasi itu kini merangkumi lebih 5,100 lokasi pengecasan melalui 12 pengendali.

Pemilik e.MAS ditawarkan kadar pengecasan pantas (DC) tidak melebihi RM1.20 setiap kilowatt-jam, manakala diskaun 10 peratus bagi pengecasan di lokasi tertentu melalui aplikasi e.MAS ditawarkan sehingga akhir tahun.

PRO-NET berkata, pihaknya akan terus memperluas kemudahan pengecasan menerusi hab pengecasan berjenama e.MAS yang menawarkan beberapa kemudahan pengecasan berkuasa tinggi.

Dalam pada itu, Noor Azira Ismail menjadi pemilik ke-40,000 Proton e.MAS dan menerima kunci sebuah e.MAS 7 Premium Plus berwarna hitam dalam majlis sambutan pencapaian berkenaan.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here