
UMW Toyota Motor (UMWT) merekodkan jualan sebanyak 4,856 unit kenderaan pada Februari 2026, menjadikan jumlah jualan terkumpul kepada 9,556 unit.
Prestasi stabil ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap model terasnya, disokong barisan produk diperkukuh pada awal tahun serta rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualan Toyota di seluruh negara.

Permintaan konsisten ini dipacu pendekatan terancang UMWT dalam mengembangkan portfolio dan mengekalkan kecekapan operasi.
Berbanding bergantung kepada satu kitaran model sahaja, tahun ini, UMWT melakukan beberapa tawaran diperbaharui serta kenderaan elektrik hibrid merentasi segmen utama, sekali gus memastikan pelanggan mempunyai pilihan terkini disokong ekosistem pemilikan mantap.

Katanya, momentum awal tahun ini didorong peluasan portfolio kenderaan elektrik hibrid UMWT dalam segmen utama.
Vios Hybrid dan Vios HEV GR Sport, langkah penting dalam memperkenalkan teknologi hibrid ke dalam segmen sedan B, membawa kecekapan elektrik ke dalam salah satu kategori paling mudah diakses di pasaran.
“Peluasan ini turut meliputi segmen SUV C melalui Corolla Cross HEV GR Sport yang dinaik taraf, yang menawarkan ekspresi mobiliti hibrid lebih berorientasikan prestasi sambil mengekalkan kepraktisan harian,” katanya.

Menurut UMWT, elektrifikasi juga diperkukuh dalam segmen premium menerusi Vellfire HEV dengan membawa teknologi hibrid ke dalam kategori MPV.
Manakala Harrier HEV mengukuhkan tawaran SUV segmen D Toyota dengan rangkaian kuasa hibrid, selari dengan pelanggan yang mencari pengalaman pemanduan lebih premium.
Secara keseluruhan, empat pengenalan hibrid ini menunjukkan strategi Multi-Pathway UMWT dilaksanakan merentasi portfolio, dengan memperkenalkan elektrifikasi secara berperingkat dalam segmen sedan, SUV dan MPV, bukannya tertumpu pada satu peringkat pasaran sahaja.
“Dalam pasaran yang berkembang pesat, pertumbuhan mesti berasaskan hala tuju yang jelas. Dengan memperluaskan pilihan hibrid dalam segmen sedan dan SUV sambil terus mengukuhkan rangkaian di seluruh negara, kami menyediakan pilihan elektrifikasi yang praktikal serta disokong ekosistem pemilikan boleh dipercayai.
“Prestasi mampan terhasil daripada penyelarasan strategi produk, keupayaan rangkaian dan jangkaan pelanggan secara disiplin dan konsisten,” katanya,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran.

Sepanjang tempoh promosi Mac, UMWT turut menawarkan pakej pembiayaan bagi model Toyota terpilih dengan nilai tawaran sehingga RM7,500 serta ansuran bulanan bermula daripada RM658.
Pakej ini memberikan pilihan pemilikan yang lebih fleksibel kepada pelanggan menjelang musim perayaan.
“Menjelang Hari Raya, ramai rakyat Malaysia akan membuat perjalanan yang menandakan penutup satu bab dan permulaan baharu,” kata Ravindran.




























