
Trend pemilikan kenderaan baharu buatan China dilapor terus meningkat di benua Eropah.
Berdasarkan data jualan yang diperoleh daripada Dataforce, sebanyak 13,295,075 kenderaan baharu dijual di Eropah sepanjang tahun 2025, berbanding 12,994,720 yang dicatatkan pada tahun terdahulu.
Laman Autonews melaporkan bulan Disember memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan angka jualan tahun lalu.
Angka jualan Disember melonjak daripada 1,070,043 unit kepada 1,151,209 unit yang dipacu dengan pertumbuhan yang kuat di sesetengah pasaran utama termasuklah UK.
Daripada jumlah tersebut, buat pertama kalinya pengeluar automotif China mencatatkan angka jualan melebihi 100,000 unit (109,864 unit) sepanjang bulan Disember.
Secara keseluruhan, jualan bagi kenderaan jenama China dicatatkan sebanyak 810,982 unit dengan pegangan pasaran sebanyak 6.1 peratus.
SAIC (jenama MG dan Maxus) mencatatkan jualan terbaik sebanyak 307,812 unit sepanjang tahun 2025, diikuti dengan jenama BYD yang mengedarkan kenderaan sebanyak 186,612 unit.
Chery juga tidak jauh ketinggalan dengan angka jualan sebanyak 120,207 unit. Jenama Jaecoo mencatatkan jualan sebanyak 56,944 unit (daripada 2,490 unit) manakala Omoda pula sebanyak 52,950 unit (daripada 14,540 unit).
Leapmotor menduduki tangga keenam di kalangan pengeluar automotif China di Eropah dengan angka jualan 33,567 unit.
Secara keseluruhan, MG menduduki tangga ke-16 di pasaran Eropah mendahulu jenama terkemuka seperti Cupra, Fiat dan Nissan.
BYD pula naik ke tangga ke-22 mengalahkan Mazda, Mini dan Suzuki, sementara Jaecoo, Omoda dan Polestar juga menguasai tangga 35 teratas.































