Utama Berita Automotif China haramkan pintu kereta tersembunyi bermula 2027

China haramkan pintu kereta tersembunyi bermula 2027

1111

Bermula 2027, China akan mengharamkan penggunaan pemegang pintu tersembunyi (flush door) berkuasa elektrik yang semakin popular pada kenderaan moden.

Ia susulan kejadian kemalangan maut yang membimbangkan apabila penumpang dan penyelamat gagal membuka pintu selepas berlakunya perlanggaran. 

Di bawah peraturan baharu itu, semua kenderaan wajib dilengkapi dengan pemegang pintu dalaman dan luaran bersama fungsi pelepasan mekanikal.

Ini bagi memastikan pintu masih boleh dibuka walaupun bekalan kuasa terputus atau kenderaan mengalami kerosakan teruk.

Kewajipan Sandaran Mekanikal

Perubahan berkenaan diusulkan pertengahan Disember apabila Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China memasukkan cadangan tersebut dalam draf peraturan baharu.

Ia menetapkan kenderaan penumpang dengan berat di bawah 3.5 tan mesti menggunakan pemegang pintu yang mengekalkan fungsi mekanikal selepas kemalangan.

Langkah ini dilihat sebagai satu kelegaan bagi anggota bomba yang menghadapi cabaran besar untuk mengeluarkan penumpang dengan pantas daripada kenderaan elektrik (EV) baharu selepas kemalangan.

Hendal pintu tersembunyi elektrik seperti yang dilihat pada model Tesla Model S dan BYD Seal menjadi ciri khas reka bentuk EV kontemporari di China. Pemegang pintu jenis punat tekan pada Tesla Model 3 dan Model Y juga termasuk dalam kategori yang sama.

Tarikan utama reka bentuk ini adalah kecekapan aerodinamik yang ditawarkan, membantu pengeluar meningkatkan jarak pemanduan walaupun dalam kadar yang kecil.

Bagaimanapun, jumlah aduan mengenai pemegang pintu ini semakin meningkat sejak 2024. Selain kesukaran untuk berfungsi selepas kemalangan, ia juga menghadapi masalah untuk beroperasi dalam cuaca sejuk.

Terdapat juga beberapa kemalangan profil tinggi melibatkan pemegang pintu tersebut. Pada 13 Oktober lalu, penumpang sebuah kereta maut dalam kemalangan di Chengdu apabila saksi kejadian tidak dapat membuka pintu.

Dalam kejadian berasingan di bandar Tongling baru-baru ini, tiga orang turut maut. Laporan daripada Sixth Tone menyatakan kedua-dua kemalangan tersebut melibatkan model Xiaomi SU7 Ultra.

“Bahagian dalaman (pintu) menggunakan punat yang tidak boleh dibuka secara elektrik selepas bekalan kuasa terputus.

“Pemegang pintu mekanikal dalaman SU7… tidak kelihatan dari dalam. Walaupun pekerja penyelamat memecahkan cermin tingkap, mereka tetap tidak dapat mencapainya,” kata sumber kepada The Paper selepas salah satu insiden berkenaan.

Desas-desus mengenai langkah China untuk mengharamkan pemegang pintu itu dikhabarkan sejak September waima pengeluar sering mempromosikan pemegang pintu tersembunyi itu bermanfaat untuk kecekapan.

Seperti yang dilaporkan awal tahun ini, pengurangan rintangan udara biasanya hanya sekitar 0.005 hingga 0.01 dalam pekali seretan, yang diterjemahkan kepada penjimatan kira-kira 0.6 kWh bagi setiap 100km. 

Pengharaman di China ini akan memberi kesan ke seluruh dunia. China telah memintas Jepun sebagai pengeksport kereta terbesar di dunia, dan memandangkan jenama domestik perlu memansuhkan rekaan hendal pintu flush, kemungkinan besar model eksport akan mengalami perubahan yang sama.  

Begitu juga dengan pengeluar Barat yang menjual kenderaan di China, syarikat mungkin terpaksa mengubah reka bentuk global untuk selaras dengan piawaian baharu ini bagi mengurangkan kos pengeluaran.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here