
Perkembangan terkini berhubung Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya akan diumumkan bulan depan.
Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris berkata untuk laluan Shah Alam terdapat 22 tren dan ketika ini ujian larian tanpa gagal (FFR) dilaksanakan setiap hari, dipantau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“FFR ini dijalankan 24 jam bagi memastikan tren dapat beroperasi dengan lancar tanpa ada gangguan.
“Jadi, kalau gagal (ujian), kita tak boleh buka lagi (beroperasi). Itu lah servis terbaik yang kita nak bagi kepada penduduk kawasan Shah Alam dan juga Klang.
“Sekitar Januari nanti, Prasarana akan mengadakan sidang media bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai status pengoperasian LRT3 laluan Shah Alam,” katanya.

Pada 10 Disember lalu, Prasarana mengesahkan LRT3 laluan Shah Alam tidak akan memulakan operasi tahun ini susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan dalam fasa pengujian dan pentauliahan (T&C).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata pembukaan laluan hanya akan diumumkan selepas semua komponen teknikal termasuk sistem isyarat, perisian tren dan integrasi keseluruhan rangkaian disahkan berfungsi secara stabil mengikut piawaian APAD.
Sementara itu, mengulas berhubung hasrat Selangor meluaskan laluan kereta api menerusi projek Jajaran Rel Kita Selangor, Mohd Ariffin berkata, sudah pasti Prasarana sedia menawarkan kepakaran dalam bidang berkenaan.
Katanya, Prasarana memiliki asas dan pengalaman kukuh berhubung industri rel malah syarikat pengendali LRT Jobodebek di Indonesia turut menggunakan khidmat mereka.
“Prasarana miliki kepakaran tinggi dalam industri pengangkutan awam lebih 30 tahun, malah kakitangan juga memiliki kemahiran masing-masing dan jangan disia-siakan.
“Untuk perancangan Selangor itu, Malaysia sudah ada pakarnya. Saya yakin Prasarana sedia untuk bekerjasama menjayakan pelan rancangan ini,” katanya.




























