Utama Berita Automotif Honda alih fokus kepada hibrid, mahu lancar 15 model hibrid!

Honda alih fokus kepada hibrid, mahu lancar 15 model hibrid!

3

Pengarah, Presiden dan Pegawai Eksekutif Perwakilan Honda Motor Co., Ltd. (Ketua Pegawai Eksekutif Global), Toshihiro Mibe telah membentangkan inisiatif terbaharu syarikat ke arah membina semula perniagaan automotif dan hala tuju masa hadapan jenama tersebut.

Melalui Taklimat Perniagaan Honda 2026, strategi ini menyaksikan Honda mengalihkan sumber korporat secara besar-besaran untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran hibrid bagi menjamin pertumbuhan jangka masa sederhana dan panjang.

Langkah ini mensasarkan keuntungan operasi konsolidasi tertinggi dalam sejarah syarikat iaitu melebihi ¥1.4 trilion (RM34.8 bilion) menjelang tahun fiskal berakhir 31 Mac 2029.

Peralihan Strategik Rangkaian Kuasa dan Produk

Menyedari perubahan trend permintaan semasa, Honda kini menilai semula portfolio rangkaian kuasa mereka dengan memberikan keutamaan kepada pembangunan model hibrid.

Bermula tahun 2027, syarikat akan melancarkan barisan model hibrid generasi hadapan yang menggunakan platform dan sistem hibrid serba baharu.

Secara keseluruhan, sebanyak 15 model hibrid generasi baharu dirancang untuk diperkenalkan secara global menjelang akhir Mac 2030.

Tumpuan utama diberikan kepada pasaran Amerika Utara yang merangkumi pengenalan model besar Segmen-D ke atas pada tahun 2029.

Dua model iaitu Honda Hybrid Sedan Prototype dan Acura Hybrid SUV Prototype telah didedahkan sebagai gambaran awal model yang akan mula dijual dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagi mengukuhkan daya saing, Honda berusaha mengurangkan kos sistem hibrid generasi baharu ini sebanyak lebih 30% berbanding sistem tahun 2023.

Teknologi ini juga disasarkan mampu meningkatkan tahap ekonomi bahan api sebanyak lebih 10% melalui penggunaan unit AWD elektrik yang menawarkan kawalan lebih tepat serta pengalaman pemanduan unik yang merangsang deria pemandu.

Strategi Mengikut Wilayah Keutamaan

Honda telah menetapkan tiga pasaran utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu Amerika Utara, Jepun, dan India:

Amerika Utara

  • Semua kilang di wilayah ini akan diberikan keupayaan untuk menghasilkan model hibrid.
  • Sebahagian barisan pengeluaran bateri EV di L-H Battery Company akan ditukar kepada pengeluaran bateri hibrid.
  • Honda juga akan meningkatkan penggunaan komponen tempatan untuk pemasangan motor dan penyongsang (inverter) melebihi 4 kali ganda bagi mengurangkan risiko rantaian bekalan dan kesan tarif Amerika Syarikat.

Jepun:

  • Pengenalan model EV akan tertumpu kepada kategori kei car seperti N-BOX EV pada tahun 2028.
  • Model popular seperti Vezel akan menerima sistem hibrid dan teknologi ADAS generasi baharu bermula tahun 2028. Syarikat juga menambah barisan nilai tinggi seperti siri Sport Line dan Trail Line.

India:

  • Honda menyasarkan pelanggan yang beralih daripada motosikal kepada kereta dengan memperkenalkan model strategik dalam kategori bawah 4,000 mm dan saiz sederhana pada tahun 2028.

China:

  • Honda akan memperkukuh produk dan daya saing kos melalui komponen standard tempatan serta pengenalan kenderaan tenaga baharu (NEV) menggunakan platform rakan kongsi tempatan.

Penggunaan Sumber Luaran dan Strategi Bateri

Dalam mendepani persekitaran perniagaan yang tidak menentu, Honda akan menggunakan sumber luaran secara lebih fleksibel dan strategik.

Ini termasuk memanfaatkan daya saing kos dan kepantasan perniagaan tempatan di China dan India, serta penggunaan komponen standard industri.

Mengenai bekalan bateri, Honda memutuskan untuk tidak menggunakan sumber bekalan dalaman sepenuhnya buat masa ini.

Sebaliknya, syarikat akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan L-H Battery.

Walaupun menjangkakan pertumbuhan permintaan EV pada masa hadapan, Honda akan meningkatkan kecekapan operasi dengan menghasilkan bateri untuk kenderaan hibrid yang kini mendapat permintaan tinggi, selain untuk penggunaan lain.

Selain itu, Honda akan menggantung projek pembinaan rantaian nilai EV yang komprehensif di Kanada dan akan terus membuat penilaian semula terhadap strategi pemerolehan.

Dengan menggabungkan teknologi teras yang dibangunkan secara bebas oleh Honda dan sumber luar, syarikat menyasarkan untuk meningkatkan daya saing dalam pasaran global.

Transformasi Kejuruteraan dan Teknologi Digital

Bagi meningkatkan kecekapan, Honda menerapkan pendekatan Triple Half yang mensasarkan pengurangan kos pembangunan, tempoh masa, dan beban kerja sebanyak 50% berbanding tahap tahun 2025.

Honda akan memendekkan tempoh pembangunan bagi penukaran model minor sebanyak separuh bermula tahun ini, manakala bagi penukaran model penuh akan bermula bagi projek tahun 2028.

Integrasi teknologi AI dan persekitaran digital akan digunakan sepenuhnya dalam proses rekaan dan ujian.

Dari aspek perisian, sistem ASIMO OS yang asalnya untuk model elektrik akan turut digunakan pada model hibrid untuk menawarkan pengalaman kabin yang lebih pintar bagi penumpang.

Selain itu, sistem ADAS generasi baharu dijadualkan memasuki pasaran pada tahun 2028 dengan keupayaan membantu pemandu dari titik mula hingga ke destinasi secara lancar di lebuh raya dan jalan biasa.

Pelaburan Besar

Dalam tempoh tiga tahun sehingga 2029, Honda merancang untuk melabur sebanyak ¥6.2 trilion (RM154.1 bilion) yang dibahagikan mengikut keutamaan berikut:

  • ¥4.4 trilion (RM109.4 bilion) diperuntukkan untuk pembangunan kenderaan petrol dan hibrid.
  • ¥1.0 trilion (RM24.9 bilion) untuk pembangunan teknologi perisian.
  • ¥0.8 trilion (RM19.9 bilion) untuk pelaburan berkaitan EV.

Perniagaan Motosikal Honda

Bagi perniagaan motosikal, pasaran global dijangka berkembang kepada 60 juta unit menjelang 2030.

Honda merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan di India daripada 6.25 juta unit kepada kira-kira 8 juta unit pada tahun 2028.

Selain memenuhi permintaan domestik, operasi di India akan diperkukuh sebagai hab eksport global bagi pasaran ASEAN serta Amerika Tengah dan Selatan.

Syarikat juga akan memperkenalkan produk yang lebih agresif di Asia dan Amerika Latin untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahu menaik taraf.

Teknologi seperti Honda E-Clutch diperkenalkan sebagai faktor pembeza produk untuk bersaing dengan pesaing baharu.

Bagi segmen elektrik, Honda akan mengambil pendekatan fleksibel dan tangkas dalam pelancaran produk berdasarkan permintaan pasaran dan peraturan alam sekitar di setiap negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here