Utama Berita Automotif Polisi baharu EV Malaysia, BYD takkan keluar pasaran

Polisi baharu EV Malaysia, BYD takkan keluar pasaran

93

Spekulasi mengenai masa depan BYD di pasaran tempatan terjawab apabila jenama itu mengesahkan komitmen untuk terus kekal di Malaysia walaupun berdepan dasar kerajaan yang lebih ketat.

Kenyataan itu disuarakan oleh Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif Asia Pasifik, Liu Xueliang pada majlis pelancaran pusat 3S BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang, sekali gus melenyapkan kebimbangan peminat automotif mengenai kemungkinan jenama itu bakal ‘angkat kaki’ susulan polisi baharu kenderaan tenaga baharu (NEV).

Liu Xueliang menegaskan, pihaknya sedia maklum dengan dasar baharu yang dikeluarkan kerajaan Malaysia dan komited untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Sebagai sebuah syarikat teknologi yang bertanggungjawab, kami akan terus membawa teknologi dan produk terbaik kami ke Malaysia.

“Kami menghormati semua dasar daripada kerajaan Malaysia dan kami berharap dapat menggunakan usaha, kebijaksanaan dan semangat kami untuk terus bekerjasama dengan rakan pengedar bagi pembangunan NEV yang paling sesuai, katanya.

Selain komitmen di Semenanjung, Liu turut mendedahkan pelan besar BYD untuk menembusi pasaran Sabah dan Sarawak.

“Tahun lalu, saya ke Malaysia Timur dan saya dapati permintaan tinggi pengguna di sana terhadap teknologi BYD. Saya telah berjanji bahawa kami akan membawa produk kami ke Malaysia Timur tidak lama lagi, tambahnya lagi.

Langkah ini membuktikan bahawa BYD bukan sahaja mahu bertahan, malah mahu mendominasi pasaran EV Malaysia dari hujung utara hingga ke Borneo.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menetapkan semua kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) perlu memenuhi nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum RM200,000 serta had kuasa motor sekurang-kurangnya 180 kilowatt (kW) berkuat kuasa 1 Julai depan. 

MITI dalam kenyataan berkata ketetapan itu diperkenalkan susulan tamatnya tempoh pengecualian khas selama empat tahun bagi pengimportan EV di bawah permit kelulusan (AP) Francais pada 31 Disember 2025.

Dasar berkaitan EV CBU kini dikembalikan kepada kerangka sedia ada dengan beberapa penyelarasan, termasuk penurunan had minimum kuasa motor daripada 200 kW kepada 180 kW.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here