Utama Berita Automotif ‘Battery Lock’ Di China: Kerajaan mula kenakan ‘4-larangan’ pada pengeluar EV

‘Battery Lock’ Di China: Kerajaan mula kenakan ‘4-larangan’ pada pengeluar EV

6

Pemilik kenderaan tenaga baharu (NEV) di China mendakwa beberapa kereta elektrik (EV) yang pada asalnya mampu mencapai jarak tempuh sekitar 500km (CLTC) berkurangan kepada 300km dalam penggunaan sebenar.

Hal ini berlaku susulan kemas kini atas talian (OTA) jarak jauh yang mengubah parameter pengurusan bateri.

Penyiar rasmi China, China Media Group (CMG) menerbitkan laporan terperinci berkaitan amalan yang dikenali sebagai kunci bateri (battery locking). Beberapa pemilik turut melaporkan masa pengecasan pantas DC meningkat daripada sekitar 40 minit kepada 70 minit selepas kemas kini perisian tersebut.

Amalan ini merujuk kepada situasi yang mana pengeluar kenderaan melaraskan parameter sistem pengurusan bateri (BMS) dari jauh melalui kemas kini OTA atau perisian di pusat pengedar.

Pemilik mendakwa kemas kini tersebut mengurangkan kapasiti bateri yang boleh digunakan, mengehadkan kuasa pengecasan, atau menyekat kedalaman nyahcas tanpa memberi penjelasan kesan dengan jelas.

Penyelidik industri, Zhang Xiang memberitahu CMG pengeluar boleh melaksanakan sekatan sedemikian dengan modifikasi pengecasan dan nyahcas di dalam BMS.

Beliau berkata mengehadkan arus pengecasan dan mengurangkan penggunaan tingkap bateri dapat merendahkan risiko pelarian haba dan memperlahankan degradasi bateri. Namun kesannya termasuklah jarak pemanduan yang lebih pendek dan tempoh pengecasan lebih lama. 

Seorang pemilik berkongsi kenderaannya sebelum ini boleh menerima kapasiti pengecasan 100kWh, tetapi selepas kemas kini OTA ia hanya menerima sekitar 80 kWh walaupun penunjuk kesihatan bateri masih 95 peratus.

Dia juga mendakwa jarak pemanduan sebenar juga berkurangan daripada 450 hingga 480km kepada bawah 400km.

Peraturan OTA Diperketat

Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) serta Pentadbiran Negara bagi Kawal Selia Pasaran China telah mengeluarkan peraturan baharu mengenai pengurusan OTA EV pada Mac lalu.

Media China menggelar peraturan berkenaan sebagai  “Empat Larangan OTA”, termasuk larangan terhadap kunci bateri tanpa pendedahan, kemas kini senyap secara paksa, dan penggunaan OTA untuk menghindari proses panggil balik.

Laporan itu juga merujuk kepada khabar angin dalam talian baru-baru ini yang mendakwa lapan pengeluar telah dipanggil oleh pengawal selia berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM) menafikan dakwaan tersebut bahkan beberapa pengeluar termasuk BYD, Tesla, dan Zeekr turut menolak dakwaan tersebut, malah BYD mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Isu Undang-undang dan Hak Pengguna

Zheng Fei, seorang pakar undang-undang menyatakan bahawa mengubah parameter kenderaan dari jauh tanpa kebenaran pemilik boleh diambil tindakan di bawah undang-undang harta, perlindungan pengguna, dan peraturan data peribadi.

Laporan itu menyatakan bahawa perubahan parameter OTA biasanya disimpan dalam sistem awan pengeluar, menjadikannya sukar untuk disahkan secara bebas oleh pemilik biasa.

Pengguna yang mengesyaki berlakunya perubahan OTA tanpa kebenaran dinasihatkan untuk:

  • Menyahaktifkan pemasangan OTA automatik
  • Menyimpan rekod pengecasan dan versi perisian
  • Mendapatkan pemeriksaan pihak ketiga jika perlu
  • Memfailkan aduan melalui platform perlindungan pengguna 12315 atau saluran aduan MIIT

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here