
Sebuah kenderaan jenis Honda berwarna perak disita dalam satu operasi di Jalan Genting Klang, malam Selasa selepas dikesan bukan sahaja mempamerkan identiti palsu, malah disyaki sebagai kenderaan klon.
Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyatakan dalam Ops KPA itu, anggota bertugas mendapati maklumat kenderaan mencurigakan selepas pemeriksaan menerusi sistem MySikap.
“Hasil pemeriksaan teknikal yang lebih mendalam membongkar rahsia besar apabila nombor casis dan nombor enjin kenderaan tersebut langsung tidak didaftarkan, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai kenderaan klon.
“Tindakan penguatkuasaan diambil melalui pengeluaran Notis Saman P22 dan Notis Penyitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” menurut kenyataan.
Kes turut disiasat mengikut beberapa peruntukan berat termasuk Seksyen 7(1) menggunakan kenderaan tidak berdaftar; Seksyen 108(3)(f) mempamer nombor pendaftaran bukan milik kenderaan dan Seksyen 90(1) kerana tiada perlindungan insurans.
JPJ WPKL menyeru orang awam agar tidak terjebak dengan pembelian kenderaan klon yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah tidak mempunyai perlindungan insurans jika berlaku kemalangan.
Sebarang aduan trafik boleh disalurkan terus kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta dengan butiran lengkap pengadu dan juga butiran lengkap aduan.

































