
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menegaskan beliau tidak pernah membuat sebarang pengumuman dasar berkaitan had penggunaan petrol 150 liter sebulan seperti yang dilaporkan.
Beliau berkata, kenyataan dalam satu sesi Fireside Chat anjuran AFFIN Bank telah dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan media.
“Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham dan berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan,” menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Menurut beliau, tiada sebarang pengumuman baharu dibuat mewakili kerajaan berhubung dasar tenaga mahupun cadangan pelaksanaan had penggunaan bahan api tersebut.
“Apa yang saya jelaskan adalah BUDI95 merupakan mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia,” jelas Chin Tong.
Ujarnya, keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan Malaysia mempunyai bekalan petrol yang mencukupi bagi tempoh paling lama.
“Masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh paling lama dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol,” katanya.
Terdahulu pada sesi tersebut, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memaklumkan data semasa menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan petrol di bawah paras yang dicadangkan itu.
“Data secara konsisten menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter.
“Dan saya rasa perkara seterusnya ialah sama ada kita perlu mengurangkan sedikit kuota bagi membolehkan BUDI95 digunakan sebagai alat pengurusan permintaan,” katanya.
Sebelum ini, BUDI95 memperuntukkan kuota 300 liter sebelum kerajaan mengambil langkah penyelarasan kepada 200 liter bermula April lalu pada paras RM1.99 seliter.
Perbelanjaan bulanan kerajaan untuk subsidi bahan api telah melonjak hampir 10 kali ganda apabila harga minyak mentah meningkat susulan konflik geopolitik Asia Barat pada akhir Februari.































