
Medan persaingan automotif Malaysia bagi bulan April 2026 menyaksikan satu anjakan besar dalam kelompok kenderaan mampu milik.
Selepas terpaksa akur di tangga ketiga pada bulan Mac, Proton Saga kembali menunjukkan taring dengan lonjakan pendaftaran yang luar biasa, sekali gus merampas semula kedudukan daripada Perodua Axia.
Walau bagaimanapun, takhta nombor satu masih lagi milik mutlak Perodua Bezza yang terus mempamerkan penguasaan dan meninggalkan pesaing-pesaing lain di belakang.
April Milik Proton Saga
Bulan April menjadi saksi kepada kebangkitan semula model ikonik Proton.
Berdasarkan data pendaftaran bulanan, Proton Saga mencatatkan angka 8,207 unit, satu lonjakan drastik berbanding 5,398 unit pada Mac lalu (peningkatan 50.9%).
Kejayaan ini membolehkan Saga memintas Perodua Axia yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 7,294 unit.
Prestasi ini membuktikan rantaian bekalan Proton kini kembali stabil, membolehkan tempahan yang tertunggak dihantar dengan lebih pantas kepada pelanggan selepas tempoh cuti perayaan pada Mac.
Bezza Terus Memperkukuh Takhta
Meskipun Saga mempamerkan pecutan hebat, ia masih belum cukup untuk menggugat Perodua Bezza.
Sedan kompak kegemaran rakyat Malaysia ini terus gah di puncak dengan pendaftaran sebanyak 9,431 unit bagi bulan April sahaja.
Secara keseluruhan (YTD) setakat 30 April 2026, Bezza telah mengumpul sebanyak 32,386 unit pendaftaran, mengekalkan jurang di hadapan Proton Saga yang mengumpul 29,897 unit.
Tiga model terlaris April 2026:
- Perodua Bezza: 9,431 unit
- Proton Saga: 8,207 unit
- Perodua Axia: 7,294 unit
Jenama Asing: Chery Hebat Atasi Jenama Jepun, Jetour Mula Memecut!
Di luar kelompok jenama kebangsaan, Toyota terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama asing nombor satu di Malaysia dengan jumlah pendaftaran terkumpul sebanyak 31,254 unit.
Di tempat kedua, Honda mengumpul 17,566 unit (YTD) dan seperti bulan lalu, Chery berada di tangga ketiga dengan 10,700 unit.
Pencapaian Chery dianggap luar biasa kerana berjaya mengatasi jenama-jenama besar Jepun yang lain seperti Mitsubishi, Mazda dan Nissan.
Satu lagi perkembangan menarik ialah pecutan jenama Jetour yang merekodkan 2,877 unit (YTD), meningkat lebih 1,100 unit dalam tempoh sebulan sahaja.
Dalam pada itu, kedudukan BYD kini mencatatkan 3,674 unit (YTD), tinggal sedikit sahaja di belakang Mazda (3,767 unit) dengan perbezaan hanya 93 unit.
Walau bagaimanapun, ketidaktentuan mengenai program pemasangan tempatan (CKD) mungkin akan membantutkan pencapaian BYD untuk memintas jenama Jepun tersebut dalam tempoh terdekat.
Penguasaan Perodua, Lepasi Angka 100k!
Secara keseluruhan, Perodua terus menerajui pasaran dengan jumlah pendaftaran terkumpul mencecah 106,298 unit.
Proton mengekori di tempat kedua dengan 66,420 unit, manakala Toyota kekal sebagai jaguh jenama asing.
Kebangkitan semula Saga dan pecutan jenama-jenama dari China memberikan isyarat jelas bahawa suku kedua (Q2) 2026 akan menjadi medan tempur yang sangat sengit.
Dengan situasi geopolitik yang memberi tekanan kepada harga bahan api, faktor kecekapan tenaga akan terus menjadi kriteria utama pembeli di Malaysia.
Kedudukan 10 Model Terlaris (YTD April 2026)
Penguasaan jenama kebangsaaan kekal tidak tergugat dengan model-model utama terus mengisi kelompok teratas.
Menariknya, model elektrik Proton e.MAS 5 kekal konsisten dalam kelompok 10 terbaik manakala Perodua Traz berjaya mengatasi Ativa.
- Perodua Bezza: 32,386 unit
- Proton Saga: 29,897 unit
- Perodua Axia: 24,955 unit
- Perodua Myvi: 19,478 unit
- Perodua Alza: 12,806 unit
- Proton X50: 9,557 unit
- Proton e.MAS 5: 8,473 unit
- Proton S70: 8,175 unit
- Perodua Traz: 7,310 unit
- Honda City: 6,730 unit
Sumber Data: data.gov.my







































