
Sejak kebelakangan ini, banyak kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan tenaga baharu (NEV) buatan China menggunakan rekaan kabin yang minimalis.
Ini bermakna, sesebuah kereta baharu yang dijual hampir tiada butang fizikal dan semua operasi dikawal menerusi skrin infohibur yang besar.
Trend ini pernah disifatkan oleh Naib Presiden Geely sebagai “industri automotif China terlalu ikut trend tanpa berfikir”.
Disebabkan itu, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) bercadang mewajibkan kenderaan baharu mempunyai butang fizikal untuk fungsi penting seperti lampu isyarat, tingkap, dan sistem bantuan pemandu.
Peraturan ini dijangka berkuat kuasa untuk model yang mula dibuat 1 Julai 2026.
Kemaskini kepada standard nasional GB4094—2016 ini menambah kategori baharu untuk komponen kawalan fizikal untuk memastikan fungsi penting boleh dicapai dan digunakan tanpa melihat (blind operation).
Selain itu, pemandu juga tidak terlalu bergantung pada skrin yang boleh mengganggu pemanduan.
Proses semakan bermula sejak 2023 dengan penyertaan pengeluar besar seperti CATARC, Geely, FAW-Volkswagen, BYD dan Great Wall Motor.
Antara fungsi yang diwajibkan mempunyai kawalan fizikal ialah:
- Pencahayaan: Lampu isyarat, lampu hazard, hon
- Penukaran gear: P/R/N/D (dilarang guna skrin sahaja)
- Bantuan pemandu: Suis aktifkan sistem ADAS
- Keselamatan/kecemasan: Wiper, defroster/defogger, tingkap kuasa, sistem panggilan kecemasan AECS, suis power-off EV
Turut ditetapkan ialah syarat teknikal seperti saiz butang (≥10 mm x 10 mm), kedudukan tetap, boleh dikendalikan tanpa melihat, ada maklum balas sentuhan/bunyi, serta kekal berfungsi walaupun sistem kenderaan tidak berfungsi atau kehilangan kuasa.
































