Utama Berita Automotif Sasar jualan 60,000 unit, Honda Malaysia bakal lancar enam model baharu

Sasar jualan 60,000 unit, Honda Malaysia bakal lancar enam model baharu

205

Honda Malaysia memperkukuh kedudukan pasarannya bagi tahun 2026 dengan pengenalan enam model baharu.

Selaras dengan hala tuju perniagaan, syarikat berkenaan menyasarkan jualan sebanyak 60,000 unit untuk tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, semangat ‘Fun to Drive’ mencerminkan komitmen syarikat untuk menghasilkan kenderaan yang mempunyai hubungan emosi dengan pelanggan.

“Pengenalan teknologi S+ Shift buat pertama kalinya adalah contoh jelas hala tuju ini. Ia mempertingkatkan penglibatan pemandu dan menjadikan setiap perjalanan lebih dinamik serta memuaskan. 

“Kami juga bakal merancakkan lagi pasaran dengan memperluaskan rangkaian e:HEV, membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia merasai prestasi seimbang dan mengujakan daripada teknologi hibrid canggihnya,” jelasnya. 

Dengan fokus yang mengutamakan pelanggan, Honda Malaysia menyelaraskan penawaran modelnya bagi membolehkan pelanggan mencari model Honda yang sesuai dengan gaya hidup dan pilihan mereka. 

Di samping itu, pihak syarikat juga memperkukuh operasi pengedaran dan memberikan fokus yang lebih besar untuk meningkatkan perkhidmatan jualan serta selepas jualan.

Narushi Yazaki menambah pihaknya yakin dapat mencapai matlamatnya pada tahun ini didorong oleh prestasi kukuh pada 2025 dengan jualan lebih 72,301 unit.

“Honda Malaysia terus menerajui Segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional selama 12 tahun berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kehadirannya selama 25 tahun di negara ini,” jelasnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here