
Mercedes-AMG memperkenalkan Mercedes-AMG GLC 53 4MATIC+ dan GLC 53 4MATIC+ Coupé sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sporti.
Model baharu ini memfokuskan kepada peningkatan dinamik pemanduan dan emosi melalui penggunaan enjin enam silinder yang ditala semula untuk memberikan maklum balas lebih lincah serta karakter putaran enjin yang lebih tinggi.
Salah satu penambahan eksklusif untuk model ini ialah pengenalan pakej Golden Accents yang hanya ditawarkan selama satu tahun.
Pakej ini menampilkan perincian Techgold pada bahagian luaran dan dalaman bagi memberikan identiti visual yang lebih premium.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi
Nadi utama jentera ini ialah enjin 3.0 liter enam silinder sebaris yang menggunakan sistem pengecasan berkembar melalui pengecas turbo gas ekzos dan pemampat (compressor) tambahan elektrik.
Enjin ini telah dibangunkan semula secara menyeluruh merangkumi penggunaan kepala silinder baharu dengan liang ambilan serta ekzos yang ditambah baik, aci sesondol ambilan baharu, serta sistem ambilan udara dengan isi padu lebih besar dan intercooler baharu.
Unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 449 ps dan tork maksimum 600 Nm.
Melalui fungsi overboost, tork boleh meningkat sehingga 640 Nm selama 10 saat pada 5,200 rpm.
Pemampat tambahan elektrik kini beroperasi dengan kuasa 7.5 kW (10.2 ps) berbanding 5.0 kW (6.8 ps) sebelum ini, sekaligus mengurangkan sela masa turbo.
Sistem ini turut dibantu oleh penjana pemula bersepadu atau ISG generasi kedua yang ditempatkan di dalam perumah transmisi.
Sebagai komponen sistem elektrik 48-volt, ISG mampu memberikan lonjakan kuasa tambahan sebanyak 17 kW (23 ps) dan tork 205 Nm untuk tempoh singkat, selain berfungsi untuk pemulihan tenaga dan melancarkan sistem mula-henti enjin.
Sistem Transmisi dan Pacuan Semua Roda
Kuasa dihantar ke jalan raya melalui transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G yang menawarkan masa penukaran gear yang sangat singkat, fungsi double-declutching dan keupayaan untuk menurunkan beberapa gear sekaligus dengan pantas.
Pemandu juga boleh mengawal penukaran gear secara manual melalui pedal penukar gear pada stereng.
Sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ yang hadir secara standard berfungsi secara variasi sepenuhnya.
Ia mengawal agihan kuasa antara gandar hadapan dan belakang secara berterusan berdasarkan situasi pemanduan.
Untuk kecekapan, gandar hadapan boleh diputuskan sepenuhnya apabila tidak diperlukan.
Kapasiti tunda juga telah dipertingkatkan daripada 1,800 kg kepada 2,400 kg.
Buat pertama kalinya bagi SUV AMG, sistem ini dilengkapi dengan kunci perbezaan (LSD) gandar belakang kawalan elektronik yang menyokong fungsi Drift Mode.
Dalam mod ini, GLC berfungsi sebagai jentera pacuan roda belakang sepenuhnya.
Dinamik Pemanduan dan Sistem Suspensi
Sistem ampaian AMG RIDE CONTROL menggunakan pegas keluli dengan susunan spring serta peredam yang ditala khas.
Sistem peredaman boleh laras adaptif membolehkan pemandu memilih antara tiga tahap iaitu Comfort, Sport dan Sport+.
Bagi aspek kawalan, GLC 53 dilengkapi stereng parameter AMG tiga tahap dan stereng belokan belakang sebagai ciri standard.
Pada kelajuan sehingga 100 km/j, roda belakang akan membelok bertentangan arah dengan roda hadapan sehingga 2.5 darjah untuk mengecilkan radius pusingan.
Pada kelajuan melebihi 100 km/j, roda belakang akan membelok selari dengan roda hadapan sehingga 0.7 darjah untuk kestabilan di lebuh raya.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera berliang dalaman bersaiz 390 mm x 36 mm dengan angkup tetap empat omboh di hadapan, manakala bahagian belakang menggunakan cakera 360 mm x 26 mm dengan angkup terapung satu omboh.
Pakej Golden Accents dan Kelengkapan Dalaman
Pakej Golden Accents yang ditawarkan secara terhad hadir dengan pilihan warna hitam Obsidian Metallic atau Graphite Grey Magno.
Ia dibezakan dengan rim tempa AMG 21 inci rekaan cross-spoke berwarna hitam kusam dengan kemasan bibir Techgold.
Di dalam, kerusi sport AMG dibalut kulit hitam dengan jahitan kontras Techgold yang turut digunakan pada panel pintu dan papan pemuka.
Elemen kemasan karbon AMG pula ditenun dengan benang logam untuk memadankan tema emas tersebut.
Ciri tambahan lain termasuk Pakej AMG DYNAMIC PLUS yang merangkumi cagak enjin aktif, stereng AMG Performance dalam kemasan mikrofiber MICROCUT dan angkup brek berwarna merah.
Bagi sistem ekzos, ia dilengkapi resonator khas untuk bunyi yang lebih padu, dengan pilihan sistem AMG Real Performance Sound yang menggunakan sistem injap kawalan manual.
Spesifikasi Teknikal Mercedes-AMG GLC 53 4MATIC+ dan GLC 53 4MATIC+ Coupé
- Enjin: Enam silinder sebaris 3,000 cc dengan turbo dan pemampat elektrik
- Output Enjin: 449 ps pada 5,800 hingga 6,100 rpm
- Tork Enjin: 600 Nm (640 Nm dengan overboost) pada 2,200 hingga 5,200 rpm
- Output Motor Elektrik ISG: 17 kW (23 ps)
- Tork Motor Elektrik ISG: 205 Nm
- Sistem Pacuan: AMG Performance 4MATIC+ variasi (variable) sepenuhnya
- Transmisi: AMG SPEEDSHIFT TCT 9G
- Pecutan 0 ke 100 km/j: 4.2 saat
- Kelajuan Maksimum: 250 km/j (270 km/j dengan Pakej AMG Driver)
- Penggunaan Bahan Api Gabungan: 9.4 hingga 9.9 liter bagi setiap 100 km
Mercedes-AMG GLC 53 4MATIC+ Coupé
Mercedes-AMG GLC 53 4MATIC+







































