
Selepas melalui fasa naik taraf, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di Kota Bharu dijangka beroperasi secara penuh bermula 5 Mac depan.
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, ia sekali gus memberi nafas baharu kepada sektor pengangkutan udara di Kelantan.
“Insya-ALLAH pertengahan Ramadan ini lapangan terbang dapat beroperasi sepenuhnya hasil lawatan yang dilakukan pihak kami ke lokasi berkenaan minggu lalu,” katanya.
Menurut beliau, operasi penuh yang sepatutnya bermula minggu lalu terpaksa ditangguhkan susulan isu teknikal pada sistem penghantar bagasi (conveyor) yang sudah memasuki peringkat akhir pelaksanaan.
Jelasnya, pengoperasian penuh itu amat signifikan bagi menampung lonjakan pergerakan penumpang menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Saizol memberitahu, pihaknya turut dimaklumkan beberapa operator penerbangan akan menambah jambatan udara bagi meningkatkan keselesaan pengguna.
“Saya turut berharap syarikat penerbangan mengambil peluang memperluas rangkaian destinasi termasuk ke luar negara, meskipun LTSIP belum berstatus lapangan terbang antarabangsa sepenuhnya,” katanya.































