Utama Berita Automotif Model WEY G9 Hi4 PHEV rekod lebih 800 tempahan dalam masa seminggu

Model WEY G9 Hi4 PHEV rekod lebih 800 tempahan dalam masa seminggu

10

GWM Malaysia merekodkan lebih 800 tempahan bagi model WEY G9 Hi4 PHEV dalam tempoh seminggu selepas pelancarannya, sekali gus mencerminkan permintaan kukuh terhadap segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) tenaga baharu (NEV) mewah dipasang secara tempatan (CKD).

Pencapaian itu memperlihatkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap teknologi hibrid pintar serta potensi Malaysia sebagai hab pemasangan dan eksport kenderaan tenaga baharu mewah di rantau ASEAN.

Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi berkata, jumlah tempahan diterima menunjukkan penerimaan positif pasaran terhadap mobiliti pintar dan mewah ditawarkan model berkenaan.

“Jumlah tempahan ini bukan sekadar angka, tetapi menunjukkan pelanggan memahami nilai sebenar dibawa WEY G9 Hi4 PHEV, khususnya gabungan teknologi dan keselesaan untuk keluarga moden,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan ekosistem pemasangan tempatan memenuhi piawaian global, sekali gus menjana nilai tambah kepada industri automotif negara.

“Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan permintaan pelanggan yang teguh, malah ia menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan tempatan di Malaysia.

“Dengan kelebihan tenaga kerja mahir dan rangkaian vendor yang ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan,” katanya.

Model kereta itu dilancarkan pada 29 Januari lalu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Sim ketika menyampaikan ucapan dalam majlis pelancaran itu berkata, pengenalan WEY G9 Hi4 PHEV adalah langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem automotif negara, sejajar aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju industri kenderaan tenaga baharu di rantau ini.

“Pemasangan secara tempatan membolehkan syarikat memanfaatkan rangkaian lebih 72 vendor tempatan serta tenaga kerja teknikal mahir, sekali gus menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Pemasangan tempatan membolehkan syarikat memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan membuka laluan eksport bebas cukai di rantau ini, di samping memperkukuh pemindahan teknologi serta pembangunan kemahiran,” katanya.

WEY G9 Hi4 PHEV dikuasakan sistem hibrid pintar Hi4 GWM menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 kilometer (km) serta jarak keseluruhan melebihi 1,000 km.

Model itu ditawarkan pada harga RM269,800 seunit dan menyasarkan keluarga serta golongan profesional yang mencari MPV mewah berprestasi tinggi dengan kecekapan bahan api dan teknologi terkini.

Dengan harga sedemikian, ia menjadikan pasarannya mampu berdaya saing dalam kumpulan MPV mewah di Malaysia.

Pelancaran model itu juga mengukuhkan lagi strategi GWM Malaysia dalam segmen kenderaan tenaga baharu, selari komitmen jangka panjang syarikat untuk memperluas kehadiran di pasaran tempatan dan ASEAN.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here