
GWM Malaysia secara rasmi membuka tempahan untuk model hibrid terbaharunya, GWM Ora 5 HEV, dengan harga anggaran RM115,000 menjelang pelancaran rasminya pada November ini.
Model crossover segmen B itu sebelum ini mencuri tumpuan apabila pertama kali dipertontonkan di KLIMS 2026 pada Jun lalu, sebelum dipertontonkan sekali lagi pada Ogos.
Menjadi antara dua model yang bakal dipasang secara tempatan (CKD) bersama Haval H7 tahun depan, Ora 5 HEV tampil dengan rangkaian kuasa hibrid menggabungkan enjin petrol 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS dan tork 240 Nm, dipadankan dengan transmisi hibrid khusus (DHT) dua kelajuan bersama motor elektrik 190 PS.
Hasil gabungan tersebut, kenderaan itu mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS dan tork setinggi 476 Nm.
Apa yang lebih menarik, Ora 5 HEV mendakwa mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100 kilometer atau 22.7 kilometer seliter, dengan jarak perjalanan sehingga 1,100 kilometer menggunakan hanya satu tangki penuh berkapasiti 55 liter – jarak yang dikatakan merentasi Sarawak ke Sabah tanpa isian semula bahan api.
Dari segi dimensi, Ora 5 HEV berukuran 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm, menjadikannya lebih besar berbanding pesaing seperti Jaecoo J5, Chery Tiggo Cross, Toyota Yaris Cross dan Proton X50.
Model ini turut tampil 236 mm lebih panjang berbanding adik-beradiknya, GWM Good Cat.
Bagi kelengkapan, ia didatangkan dengan :
- rim aloi 18 inci
- suspensi topang MacPherson di hadapan dan multi-pautan di belakang
- lampu utama LED automatik
- lampu nyalaan siang LED
- spoiler belakang, bumbung rel
- pengelap cermin dengan sensor hujan
Ruang dalaman pula tampil premium dengan :
- kemasan emas ros
- pencahayaan ambien
- skrin infotainmen 14.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- pengecas tanpa wayar 50 watt
- balutan kulit sintetik
Tempat duduk belakang menawarkan lipatan 60:40 dengan ruang but 272 liter.
Harga muktamad dan spesifikasi penuh akan diumumkan semasa pelancaran rasminya November ini.




