
Nio mengumumkan kempen panggil balik melibatkan 246,229 unit kenderaan elektrik (EV) di China susulan risiko skrin panel instrumen dan paparan kawalan utama menjadi gelap secara sementara.
Kempen berkenaan didaftarkan di bawah Pentadbiran Negara bagi Kawal Selia Pasaran (SAMR) dengan nombor rujukan S2026M0017I dan berkuat kuasa serta-merta.
Panggil balik ini melibatkan model ES8, ES6, dan EC6 yang dikilangkan antara 16 Mac 2018 hingga 16 Januari 2023. Menurut dokumen yang difailkan:

- Gangguan perisian dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan paparan instrumen dan skrin utama terpadam atau menjadi gelap seketika.
- Pemandu akan kehilangan akses kepada maklumat kritikal kenderaan seperti bacaan kelajuan, amaran kerosakan, serta fungsi nyahkabus atau nyahfros yang seterusnya boleh mendatangkan bahaya keselamatan.
Bagi mengatasi masalah itu, Nio akan menyediakan kemas kini perisian versi Aspen 3.5.6, Alder 2.1.0 atau yang lebih tinggi secara percuma melalui over-the-air (OTA).
Bagi kenderaan yang tidak dapat dikemas kini melalui OTA, pusat servis Nio akan menghubungi pemilik terlibat untuk mengatur proses kemas kini secara manual.
Kenderaan yang telah pun menerima versi perisian yang dioptimumkan sebelum ini tidak memerlukan kemas kini kedua.





























