
Volkswagen Commercial Vehicle memperkenalkan sebuah van yang diberikan suntikan elemen GTI, iaitu Transporter Sportline untuk pasaran Eropah.
Pembeli boleh mendapatkan van Kombi dengan konfigurasi lima tempat duduk atau van panel, serta versi jarak antara roda pendek dan juga panjang.
Apa yang menarik, Transporter Sportline ini didatangkan dengan kit badan sporti termasuklah spoiler terpisah di belakang, aksen merah pada jeriji serta rim 19 inci.
Tidak cukup dengan itu, Volkswagen turut memadankan sistem suspensi sports yang lebih rendah berserta spring Eibach yang mampu merendahkan ketinggian sebanyak 29 mm.
Sayang sekali, naik taraf bersifat kosmetik itu tidak disertakan dengan peningkatan kuasa.
Namun, sebagai sebuah versi mercu, Transporter Sportline didatangkan dengan ciri standard seperti lampu LED matriks, rel bumbung, roda stereng dengan fungsi pemanas, serta plet ambang pintu bercahaya.
Untuk makluman, generasi baharu Volkswagen Transporter ini sebenarnya dibina berdasarkan model van Ford Transit Custom.



