Utama Berita Automotif Kit badan DAMD ubah Suzuki Spacia Gear jadi kei car retro

Kit badan DAMD ubah Suzuki Spacia Gear jadi kei car retro

5

Untung bila duduk di Jepun kerana anda akan dihidangkan dengan pelbagai jenis kit badan untuk dibeli dan dipadankan pada kei car. 

Jika anda mahukan elemen retro, DAMD ada menawarkan kit badan Noct untuk model yang sudah sedia lasak, iaitu Suzuki Spacia Gear. 

Tidak seperti kit badan lain dalam pasaran, kit Noct ini mengekalkan identiti muka depan Suzuki, cuma jeriji gaya Jeep telah digantikan dengan unit sarang lebah yang lebih klasik. 

Bingkai jeriji dikemaskan dengan trim ala aluminium, diikuti dengan bezel baharu pada perumah lampu LED. 

Bampar depan juga telah diberikan nafas baharu dengan elemen trim melintang. 

Profil sisi kekal seperti model asal, dan diserikan dengan rim aloi Cantabile bersaiz 15 inci yang boleh dipadankan dengan tayar all-terrain. 

Terdapat rak bumbung opsyen yang menampilkan kayu Accoya dari New Zealand. 

Suzuki Spacia Gear kekal dengan pilihan enjin tiga silinder 660 cc yang mampu menjana kuasa 49 hp untuk versi NA, dan 64 hp untuk varian turbo. 

Pilihan pacuan sama ada 2WD atau 4WD, semuanya melalui transmisi CVT.

Harga kit badan Noct tanpa cat bermula dari ¥140,800 (RM3,614) yang merangkumi jeriji, kemasan lampu, tambahan bampar dan logo Suzuki. 

Untuk versi yang lengkap dengan rim pula dijual pada harga ¥242,000 (RM6,213) sementara rak bumbung pula berharga ¥64,900 (RM1,666). 

Di Jepun, Suzuki Spacia Gear dijual pada harga bermula dari ¥1,952,500 (RM50,129) hingga ¥2,217,600 (RM56,935) bergantung kepada spesifikasi. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here