Utama Berita Automotif BYD sedia 6,682 pengecas flash di China

BYD sedia 6,682 pengecas flash di China

46

BYD menyediakan 6,682 unit pengecas pantas (flash charger) di 321 buah bandar seluruh China, menurut laporan wakil syarikat pada acara pelancaran BYD Great Tang (Da Tang).

Stesen pengecasan berkenaan mampu mengecas bateri daripada 10-97 peratus dalam masa hanya sembilan minit, dengan membekalkan kuasa DC sehingga 1,500kW bagi setiap penyambung. 

Rangkaian pengecas pantas BYD mula dilancarkan 5 Mac lalu yang mana syarikat merancang untuk membina sejumlah 20,000 unit pengecas pantas di China menjelang hujung tahun ini termasuk 2,000 unit pengecas di sepanjang lebuh raya.

Pada 1 April lalu, BYD telah memasang pengecas pantas yang ke-5,000 di China, sekali gus meliputi 297 buah bandar di seluruh negara itu. Ia merupakan progres pantas dalam tempoh hanya 27 hari.

Bagaimanapun, selepas itu pembangunan rangkaian pengecasan tersebut dilaporkan mula perlahan. Pada 5 Mei, BYD membina pengecas pantas yang ke-5,715 di Mongolia, diikuti pemasangan stesen ke-5,979 di China pada 17 Mei. Sepanjang bulan lalu, BYD hanya membina 703 unit pengecas.

Justeru itu, BYD baru sahaja menyiapkan 33.4% daripada sasaran keseluruhan pemasangan pengecas pantasnya setakat 17 Jun.

Bagi separuh kedua tahun 2026, syarikat itu perlu memperkenalkan baki 13,318 unit pengecas. Ini bakal menjadi satu tugas yang sangat mencabar untuk dicapai jika melihat kepada pemasangan semasa.

Pada masa sama, BYD turut menyasarkan untuk menyediakan 6,000 unit pengecas pantas di luar pasaran China, termasuk 3,000 buah stesen di Eropah.

Pada 9 Jun, pengeluar kenderaan China itu telah membina stesen pengecasan 1,500kW pertamanya di Jerman, selain pengecas pantas pertama yang turut dipasang di United Kingdom.

Menurut Naib Presiden Eksekutif BYD, He Zhiqi, syarikat merancang untuk menubuhkan 300 unit pengecas pantas di rantau Timur Tengah menjelang akhir 2026.

Hanya model-model baharu BYD yang dilengkapi dengan Bateri Blade generasi kedua sahaja yang boleh menggunakan fungsi pengecasan pantas tersebut secara efektif.

Sebelum ini, analisis daripada CITIC Securities menunjukkan bahawa jualan bulanan bagi kereta yang dilengkapi bateri jenis ini akan meningkat kepada 20,000 hingga 30,000 unit, yang mana bakal menyumbang sebanyak 30% daripada keseluruhan jualan tahunan BYD.

Data daripada China EV DataTracker menunjukkan BYD telah menjual sebanyak 376,990 unit kenderaan secara global pada Mei 2026.

Barisan model semasa BYD yang menyokong fungsi pengecasan pantas tersebut termasuklah Yangwang U7, Denza N9, Fang Cheng Bao Ti3, Fang Cheng Bao Ti7, BYD Seal 07, BYD Great Tang, BYD Sealion 06, BYD Song Ultra EV, Denza Z9 GT, BYD Seal 06 GT, Linghui e7, Yangwang U8L, BYD Han EV, dan BYD Yuan Plus (Atto 3).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here