
Selepas berjaya menggegarkan dunia kenderaan elektrik dengan Bateri Blade dan menyaingi Tesla, BYD sekali lagi tampil membawakan inovasi baharu.
Pengeluar kenderaan tenaga baharu terkemuka dunia ini bersedia untuk meruntuhkan halangan terakhir bagi penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara meluas.
Langkah ini dijayakan melalui pembangunan teknologi pengecasan FLASH yang mampu membekalkan kuasa sehingga 1,500 kW melalui satu penyambung (connector) tunggal.
Teknologi ini diperkenalkan bersama Bateri Blade generasi kedua yang ikonik bagi menawarkan prestasi yang jauh lebih cekap.
Gabungan kedua-dua teknologi ini menawarkan kelajuan pengecasan yang sangat pantas tanpa mengira keadaan persekitaran.
Tempoh pengecasan dari 10 peratus ke 70 peratus hanya memerlukan lima minit manakala pengecasan 10 peratus ke 97 peratus cuma mengambil masa sembilan minit.
Malah dalam suhu sejuk melampau mencecah -30 darjah Celsius yang biasanya memperlahankan pengecasan, Pengecas FLASH tetap mampu mengecas Bateri Blade 2.0 dari 20 peratus ke 97 peratus dalam masa 12 minit sahaja.
Prestasi dan Jarak Pemanduan Lebih Jauh
Teknologi baharu ini adalah hasil penyelidikan intensif BYD bagi mengatasi kebimbangan pengguna terhadap mobiliti elektrik.
Walaupun pasaran EV berkembang pesat, ramai pembeli masih ragu-ragu mengenai kapasiti bateri dan jarak pemanduan berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Bateri Blade 2.0 kini mampu menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh hasil peningkatan ketumpatan tenaga sebanyak 5 peratus.
Ini membolehkan kenderaan mencapai jarak pemanduan melebihi 1,000 km berdasarkan ujian kecekapan CLTC di China.
Inovasi Teknikal Bateri Blade 2.0
Bateri Blade generasi kedua ini dibangunkan selama enam tahun untuk menggabungkan dua ciri yang sering bercanggah iaitu pengecasan pantas dan ketumpatan tenaga tinggi.
Bagi mengekalkan aspek keselamatan dan ketahanan, BYD memperkenalkan Sistem Pengangkutan Ion FlashPass yang melangkaui sempadan keupayaan bateri litium besi fosfat (LFP).
Teknologi ini berasaskan tiga penemuan Utama:
- Katod Flash-Release menggunakan susunan zarah pelbagai saiz yang disusun khas bagi membolehkan komponen bateri menjadi lebih padat dan tenaga dilepaskan dengan lebih pantas.
- Elektrolit Flash-Flow dioptimumkan melalui kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan arus elektrik mengalir dengan sangat lancar dan pantas.
- Anod Flash-Intercalate mempunyai struktur khas yang membolehkan ion litium masuk secara menyeluruh untuk membolehkan pengecasan berkelajuan tinggi.
Inovasi ini secara langsung mengurangkan rintangan dalaman dan meminimumkan penjanaan haba pada punca bateri.
Selain itu, penggunaan lapisan Interfasa Elektrolit Pepejal (SEI) yang sangat nipis namun padat memastikan kestabilan kimia dan prestasi pengecasan yang konsisten.
Standard Keselamatan Tahap Tinggi, Degradasi Bateri Lebih Rendah
Walaupun fokus diberikan kepada kepantasan, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan.
Bateri Blade 2.0 telah lulus siri penilaian keselamatan penanda aras baharu termasuk Ujian Penembusan Paku (Nail Penetration Test) dan Pengecasan FLASH serentak yang pertama di dunia.
Ujian ini tidak menghasilkan larian terma (thermal runaway), asap atau kebakaran walaupun selepas 500 kitaran cas.
Bateri ini juga lulus ujian larian terma selepas litar pintas paksa pada empat sel serentak tanpa berlaku letupan walaupun suhu mencecah lebih 700 darjah Celsius.
Dari segi ketahanan jangka panjang, kadar degradasi kapasiti bateri ini adalah 2.5 peratus lebih rendah berbanding Bateri Blade versi asal.
Pengecas FLASH, Tinggi Tidak Mencecah Lantai
Pengecas FLASH BYD merupakan pengecas EV terpantas di dunia yang mampu membekalkan kuasa luar biasa sehingga 1,500kW melalui satu penyambung tunggal.
Pengecas ini dibuat dalam reka bentuk unik berbentuk T yang dipasang di bahagian atas bagi memudahkan urusan pengguna.
Reka bentuk ini memastikan kabel dan penyambung tidak mencecah lantai sekali gus mengelakkannya daripada kotor atau basah.
Dengan kabel yang lebih ringan dan sistem rel gelongsor menggunakan takal, proses menyambung pengecas ke kenderaan menjadi jauh lebih mudah tanpa mengira kedudukan port pengecasan.
Setakat 5 Mac 2026, BYD sudah memasang 4,239 stesen pengecasan FLASH di seluruh China dan menyasarkan 20,000 stesen beroperasi menjelang akhir tahun ini.
Stesen ini turut dilengkapi sistem storan tenaga nyahcas ultra pantas yang bertindak sebagai penguat kuasa bagi membolehkan pengecasan kuasa tinggi dilakukan tanpa membebankan grid elektrik setempat.
Pelancaran Global dan Model Pertama
Model pertama yang bakal dilengkapi teknologi Bateri Blade 2.0 dan pengecasan FLASH untuk pasaran Eropah ialah Denza Z9GT.
Kereta ini akan menjadi model utama yang mempamerkan keupayaan teknikal terbaharu BYD.
Selepas China, BYD merancang untuk membawa infrastruktur Pengecas FLASH ke peringkat antarabangsa bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik di seluruh dunia.
Teknologi Baharu dari BYD
Bateri Blade 2.0
- Ketumpatan tenaga: Meningkat 5 peratus
- Jarak gerak maksimum: Melebihi 1,000 km
- Kadar degradasi kapasiti: Berkurang 2.5 peratus berbanding generasi pertama
- Ketahanan suhu ekstrem: Kekal berfungsi pada suhu -30 darjah Celsius
- Keselamatan terma: Lulus ujian penembusan paku dan litar pintas serentak (melebihi 700 darjah Celsius)
Sistem Pengecas FLASH
- Kuasa pengecasan maksimum: 1,500 ps
- Tempoh cas (10% ke 70%): 5 minit
- Tempoh cas (10% ke 97%): 9 minit
- Tempoh cas suhu rendah (-30 darjah Celsius): 12 minit (20% ke 97%)
- Jenis penyambung: Penyambung tunggal dengan reka bentuk T atas kepala
- Mekanisme kabel: Rel gelongsor dengan sistem takal
Infrastruktur dan Pelancaran
- Sasaran stesen pengecas (China): 20,000 unit menjelang akhir 2026
- Stesen sedia ada: 4,239 unit (setakat 5 Mac 2026)
- Model pertama: Denza Z9GT (Shooting-brake Grand Tourer)
- Lokasi pelancaran awal: China dan Eropah





