
Nissan memulakan strategi eksport global From China menerusi penampilan sulung Nissan Navara Pro Plug-in Hybrid dan Nissan Primera EV di Philippine International Motor Show (PIMS) 2026.
Seperti yang diumumkan ketika pembentangan visi syarikat pada April lalu, China akan memainkan peranan penting sebagai hab global bagi inovasi dan eksport Nissan.
Di China, Navara Pro dikenali sebagai Frontier Pro manakala Primera EV adalah N7. Masing-masing berkongsi dengan Dongfeng Z9 dan 007.
Langkah terbaru ini menandakan permulaan pelancaran model yang direka dan dibangunkan di China untuk pasaran antarabangsa terpilih, sekali gus meningkatkan daya saing produk Nissan di peringkat global.
Menurut Ketua Pegawai Prestasi Nissan, Guillaume Cartier, China kini memainkan dua peranan penting buat syarikat itu, iaitu sebagai pasaran utama dan sumber daya saing global Nissan.
Beliau berkata penampilan sulung kedua-dua model tersebut menandakan permulaan strategi eksport From China, selain menjadi kali pertama kenderaan berkenaan diperkenalkan kepada pelanggan di luar China.
Pasaran Filipina yang menggunakan pemanduan sebelah kiri juga satu pilihan yang sepadan dengan strategi ini.
Navara Pro Plug-in Hybrid dan Primera EV buat penampilan sulung
Navara Pro Plug-in Hybrid tampil dengan rekaan lasak dan agresif yang dibangunkan untuk kegunaan kerja serta gaya hidup.
Model itu menggabungkan warisan pacuan empat roda Nissan dengan prestasi elektrifikasi, sekali gus menjadi langkah lanjut Nissan dalam membawa teknologi elektrifikasi ke segmen pikap.
Tidak hanya pikap, Primera yang merupakan sedan ikonik Nissan dijelmakan kembali sebagai sedan elektrik dengan rekaan luaran yang kemas dan aerodinamik.
Penekanan turut diberi kepada keselesaan premium, teknologi kabin moden dan ciri kesalinghubungan yang dipertingkatkan.
Nissan berkata model itu mencerminkan hala tuju syarikat dalam menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih premium dan berteraskan teknologi.
Spesifikasi teknikal bagi kedua-dua model hanya akan diumumkan lebih hampir kepada tarikh pelancarannya.
X-Trail e-POWER kembali ke Filipina
Selain memperkenalkan model baharu, Nissan Filipina turut melancarkan X-Trail e-POWER baharu, sekali gus menandakan kembalinya salah satu nama model paling dikenali Nissan ke pasaran negara itu.
Sebagai model utama e-POWER Nissan, X-Trail baharu menggunakan:
- Enjin petrol 1.5 liter VC-Turbo yang berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri
-
Tork maksimum 330 Nm
Konfigurasi tersebut membolehkan pengalaman pemanduan seakan-akan kenderaan elektrik tanpa memerlukan pengecasan luaran, sambil mengekalkan kecekapan bahan api yang tinggi untuk penggunaan harian.
Rekaan lebih premium dan moden
X-Trail e-POWER menerima rekaan luaran yang lebih menyerlah menerusi:
- Gril hitam berkilat
- Kemasan bampar bawah perak satin
- Lampu LED signatur
- Rim aloi 19 inci
- Pengelap cermin automatik pengesan hujan
Di dalam kabin, X-Trail dilengkapi pelbagai ciri premium termasuk:
- Kluster instrumen digital penuh 12.3 inci
- Sistem maklumat skrin sentuh 12.3 inci
- Wireless Apple CarPlay
- Wireless Android Auto
- Bumbung suria panoramik
- Tempat duduk larasan kuasa 8 hala
- Sistem penyaman udara automatik tiga zon dengan corong udara belakang
Pakej keselamatan dan bantuan pemandu lengkap
Nissan turut melengkapkan X-Trail e-POWER dengan pelbagai sistem bantuan pemandu seperti:
- Paparan Keliling Pintar 3D (3D Intelligent Around View Monitor)
- Cermin Pandang Belakang Pintar (Intelligent Rear View Mirror)
- e-Pedal Step
- Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (Intelligent Forward Collision Warning)
- Brek Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Braking)
- Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
- Amaran Titik Buta (Blind Spot Warning)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (Rear Cross Traffic Alert)
- Bantuan Lampu Tinggi (High Beam Assist)
- Bantuan Perhatian Pemandu (Driver Attention Assist)
Harga bermula sekitar RM150,000
Nissan X-Trail e-POWER serba baharu kini ditawarkan di Filipina pada harga PHP 2.29 juta (RM150,000).
Nissan turut memperkenalkan Launch Edition yang ditawarkan dalam jumlah terhad dengan pilihan warna dua tona:
- Everest White
- Stealth Pearl Gray
- Sahara Dune Metallic
Kicks e-POWER baharu turut dipertontonkan
Turut dipamerkan ialah Nissan Kicks e-POWER serba baharu yang hadir dengan rekaan lebih berkotak dan tegak, bersama kabin yang dimodenkan serta pelbagai penambahbaikan dari segi reka bentuk dan teknologi.
Model itu dibangunkan berdasarkan kekuatan Kicks e-POWER sedia ada sambil meneruskan usaha Nissan menjadikan mobiliti elektrifikasi lebih relevan untuk kegunaan harian.
Selain model elektrifikasi, Nissan turut mempamerkan model terasnya di ruang pameran luar termasuk Navara, Terra dan Livina.
Kredit gambar: Nissan




































