
Seorang blogger EV yang dikenali sebagai “Long Ge Talks EVs” diarahkan membayar ganti rugi CNY 2 juta (RM1.3 juta) dan membuat permohonan maaf terhadap BYD bagi kes saman fitnah dalam talian.
Blogger tersebut telah memuat naik sebuah video permohonan maaf minggu lalu dengan menyatakan penghakiman peringkat kedua telah dikeluarkan dalam tuntutan melibatkan BYD dan akaun-akaun yang dikaitkan dengan “Managedian New Energy.”
Dalam video itu, beliau mengakui bahawa kandungan terdahulu yang membincangkan tentang pembaikan sistem bateri, motor, dan kawalan elektrik BYD mengandungi kenyataan yang tidak wajar sekaligus menjejaskan reputasi BYD secara negatif.
Mahkamah mendapati pertikaian kandungan tersebut berpunca daripada video yang diterbitkan di bawah akaun “Long Ge Talks EVs” dan akaun berkaitan yang membincangkan isu pembaikan kenderaan BYD.
Video-video tersebut mendakwa sistem bateri, motor, dan kawalan elektrik tidak mempunyai bukti teknikal yang sah dan dianggap sebagai dakwaan tidak berasas mengenai sistem kenderaan BYD.
Pihak mahkamah memutuskan defendan telah menyebarkan maklumat palsu mengenai BYD, sekali gus merosakkan reputasi komersial dan produk syarikat tersebut.
Sebelumnya, prosiding pertama didedahkan pada Disember 2025 apabila BYD menyatakan telah menerima penghakiman yang memihak kepada jenama tersebut.
Jabatan Undang-Undang BYD menyatakan akaun “Long Ge Talks EVs” dan “Managedian New Energy Auto Repair” telah menerbitkan kandungan palsu atau mengelirukan di platform seperti Douyin (TikTok versi China) dan WeChat.
Selain BYD, blogger tersebut turut menghadapi tindakan undang-undang tambahan daripada syarikat Seres melibatkan jenama Aito. Laporan media China memetik keputusan mahkamah berasingan yang memerintahkan dia membayar ganti rugi sebanyak CNY160,000 (RM105,000).
Pengurus Besar Jenama dan Hubungan Awam BYD, Li Yunfei menyatakan bahawa syarikat itu menerima kritikan objektif dan laporan berasaskan fakta, namun akan terus menggunakan saluran undang-undang terhadap kandungan rekaan dalam talian atau bersifat fitnah.
































