Utama Berita Automotif KPDN KL guna kaedah rondaan motosikal, buru sindiket diesel guna taktik ‘ejen’

KPDN KL guna kaedah rondaan motosikal, buru sindiket diesel guna taktik ‘ejen’

1

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur terus berwaspada dengan sebarang modus operandi baharu sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata setakat ini di ibu negara, pihaknya mengesan sindiket yang menggunakan peranan individu sebagai ‘ejen’.

Menurutnya, ejen akan menggunakan kenderaan lain bagi menguruskan pembelian bahan api dan akan berada di hadapan lori bagi mengelak dicurigai.

“Tiada modus operandi baharu. Setakat ini kita kesan mereka (sindiket) guna ejen.

“Kita buat rondaan mengejut dan niat kita satu iaitu bagi memastikan tiada sebarang seleweng subsidi berlaku kerana subsidi ini perlu sampai kepada golongan sepatutnya,” katanya. 

Mohd Sabri bersama pegawai dan anggotanya melaksanakan inisiatif itu dengan kaedah rondaan bermotosikal serta berpakaian preman bagi memantau stesen minyak di sekitar ibu negara.

Pasukan rondaan yang bergerak sepanjang 24 jam antara salah satu langkah menerusi Op Tiris 4.0 bagi mengekang kegiatan penyelewengan khususnya diesel.

Op bermula kira-kira jam 11.30 malam, Isnin itu memeriksa lebih 20 stesen minyak selain memantau penggunaan ‘fleet card’ serta pembelian meragukan.

“Malam ini tiada apa-apa dikesan mungkin kerana inisiatif (rondaan bermotosikal) dilakukan menyebabkan mereka (sindiket) mula berhati-hati atau sedang merencanakan modus operandi baharu.

“Walau apa pun modus operandi dicipta dan dilakukan, KPDN Kuala Lumpur akan terus waspada dan berusaha mengesan kegiatan penyelewengan diesel dan petrol subsidi ini,” jelasnya. 

Beliau berkata, sepanjang Op Tiris 4.0 dilaksanakan bermula 15 Mac, KPDN Kuala Lumpur merekodkan sembilan kes dengan rampasan bernilai RM400,000 membabitkan diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Sebanyak empat kes sudah dituduh di mahkamah iaitu tiga kes diesel dan satu kes LPG. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here