Utama Berita Automotif Pemandu lori air kantoi beli diesel di empat stesen minyak

Pemandu lori air kantoi beli diesel di empat stesen minyak

7
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menahan seorang lelaki tempatan selepas didapati mengisi diesel di empat buah stesen minyak bagi tujuan penyeludupan.
 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di stesen minyak Legenda Heights, Sungai Petani selepas penguatkuasa melakukan intipan selama dua minggu.
 
“Serbuan dilakukan sekitar jam 11.00 pagi pada Rabu itu telah menemui  setong IBC berkapasiti 1,000 liter yang penuh berisi cecair disyaki minyak diesel.
 
“Hasil siasatan awal oleh pasukan serbuan terhadap suspek mendapati minyak dalam tong IBC tersebut dibeli di empat buah stesen sekitar Sungai Petani,” menurut kenyataan.
 
Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM38,005 dan kes disiasat di bawah kesalahan seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan (minyak diesel) tanpa permit menyimpan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
 
“Manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
 
“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” jelasnya.
 
KPDN Kedah memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here