
Honda melancarkan dua model motosikal terbaharu yang dilengkapi dengan teknologi Honda E-Clutch untuk pasaran Jepun.
Model road sports CBR400R E-Clutch akan mula dijual pada hari Khamis, 21 Mei, manakala model crossover NX400 E-Clutch akan menyusul pada hari Khamis, 18 Jun.
Kedua-dua jentera ini tidak dipasarkan di Malaysia kecuali NX500 tanpa E-Clutch.
Rangkaian Kuasa dan Sistem Honda E-Clutch
Honda CBR400R E-Clutch dan NX400 E-Clutch dikuasakan oleh enjin 399 cc sejukan cecair, 4-lejang, DOHC, 4-injap dengan konfigurasi 2 silinder selari.
Sistem E-Clutch mengawal operasi klac secara automatik menggunakan kawalan elektronik yang jitu semasa tunggangan seperti ketika mula bergerak, menukar gear dan berhenti.
Melalui sistem ini, penunggang tidak perlu mengendalikan tuas klac sama sekali semasa tunggangan, namun masih perlu melakukan penukaran gear menggunakan pedal kaki.
Sistem ini membolehkan penunggang memberikan tumpuan penuh kepada operasi asas pemanduan iaitu memecut, mengambil selekoh dan membrek.
Walau bagaimanapun, penunggang tetap boleh mengendalikan klac secara manual pada bila-bila masa dengan hanya menarik tuas klac, di mana fungsi kawalan automatik akan dilaraskan untuk dinyahaktifkan seketika.
Pilihan Warna dan Estetika
Setiap model menawarkan identiti reka bentuk yang berbeza melalui pilihan warna yang disediakan.
Model CBR400R E-Clutch ditawarkan dalam 2 pilihan warna iaitu Grand Prix Red yang menampilkan grafik tiga warna atau tricolor, serta warna Matte Ballistic Black Metallic untuk imej yang tegap dan garang.
NX400 E-Clutch pula hanya ditawarkan dalam 1 pilihan warna iaitu Matte Ballistic Black Metallic yang menggunakan warna hitam sebagai asas dengan padanan kemasan warna biru dan jingga sebagai riasan.
Harga Jualan dan Sasaran Pasaran
Sasaran jualan tahunan domestik bagi CBR400R E-Clutch ialah 500 unit pada harga 1,089,000 yen (RM27,225) bagi warna Grand Prix Red dan 999,900 yen (RM24,997.50) bagi warna Matte Ballistic Black Metallic.
Sasaran jualan tahunan domestik bagi NX400 E-Clutch pula ialah 400 unit pada harga 1,111,000 yen (RM27,775).
Spesifikasi Honda CBR400R E-Clutch / NX400 E-Clutch 2026 Jepun
- Enjin: NC65E 399 cc sejukan cecair, 4-lejang, DOHC, 4-injap, 2 silinder selari
- Kuasa maksimum: 46 ps@9,000 rpm
- Tork maksimum: 38 Nm@7,500 rpm
- Kapasiti tangki bahan api: 17 liter
- Transmisi: 6-kelajuan
- Jenis rangka: Diamond
- Dimensi CBR400R E-Clutch: Panjang 2,080 mm x Lebar 760 mm x Tinggi 1,145 mm
- Dimensi NX400 E-Clutch: Panjang 2,150 mm x Lebar 830 mm x Tinggi 1,390 mm
- Jarak roda: 1,410 mm (CBR400R) / 1,435 mm (NX400)
- Jarak kelegaan bumi: 130 mm (CBR400R) / 150 mm (NX400)
- Ketinggian pelana: 785 mm (CBR400R) / 800 mm (NX400)
- Berat: 195 kg (CBR400R) / 199 kg (NX400)
- Kapasiti penumpang: 2 orang
- Kadar penggunaan bahan api malar (pada kelajuan tetap 60 km/j dengan 2 penumpang): 41.0 km/liter untuk kedua-dua model
- Nilai mod WMTC (Kelas 3-2 dengan 1 penunggang): 28.1 km/liter untuk kedua-dua model
- Tayar hadapan CBR400R: 120/70ZR17M/C 58W
- Tayar belakang CBR400R: 160/60ZR17M/C 69W
- Tayar hadapan NX400: 110/80R19M/C 59H
- Tayar belakang NX400: 160/60R17M/C 69H
- Jenis brek hadapan: Cakera dua sisi hidraulik
- Jenis brek belakang: Cakera hidraulik
- Sistem suspensi hadapan: Jenis teleskopik dengan fork terbalik
- Sistem suspensi belakang: Jenis lengan ayun (Pro-Link)



































