Utama Berita Automotif Hyundai idam dominasi segmen EV, mula buka tempahan IONIQ 5 N, IONIQ...

Hyundai idam dominasi segmen EV, mula buka tempahan IONIQ 5 N, IONIQ 6 N

5

Hyundai Motor Malaysia mencuri tumpuan pada penganjuran Penang Autoshow 2026 hujung minggu lalu apabila mengumumkan secara rasmi pembukaan tempahan bagi dua model kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi paling dinantikan, Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N.

Penampilan kedua-dua model ini menandakan bermulanya era baharu dalam segmen pemanduan elektrik berprestasi tinggi di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada pengenalan rasmi, pengunjung berpeluang menyaksikan pratonton eksklusif Ioniq 5 N secara lebih dekat di ruang pameran utama dan merasai sendiri kehebatan kejuruteraan warisan sukan permotoran Hyundai N.

Prestasi Tanpa Kompromi: Definisi Baharu Kejuruteraan N

Model ini mewakili kemuncak inovasi Hyundai dalam menggabungkan kelestarian elektrik berserta keterujaan pemanduan litar:

Ioniq 5 N: Merupakan pemenang anugerah World Performance Car 2024. Dibina di atas casis yang ditala khusus untuk litar lumba, ia menjana kuasa luar biasa sebanyak 650 PS.

Jentera ini mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 260 km/j.

Selain prestasi ekstrem, ia juga praktikal untuk pemanduan harian dengan jarak gerak WLTP sejauh 448 km.

Ioniq 6 N: Dinobatkan sebagai World Performance Car of the Year 2026, model ini menawarkan aerodinamik lebih tajam dan karakter pemanduan lebih halus.

Dengan kemuncak kuasa 650 PS, ia mencatatkan masa pecutan lebih pantas iaitu 3.2 saat (0-100 km/j).

Antara ciri eksklusifnya termasuk Swan Neck Spoiler dan kamera aksi dalaman untuk merekodkan pengalaman pemanduan di litar.

Model ini menawarkan jarak gerak sehingga 487 km (WLTP).

Bagi menjamin kualiti dan eksklusiviti, Hyundai mengesahkan bahawa model ini akan dihasilkan secara “Built-to-Order” (dibina mengikut tempahan pelanggan).

Anggaran harga bermula daripada:

  • Hyundai Ioniq 5 N: RM 450,000
  • Hyundai Ioniq 6 N: RM 460,000

Setiap pelanggan yang membuat tempahan bakal menerima cenderahati eksklusif koleksi rasmi Hyundai N bernilai RM 2,000.

“Kehadiran kami di Penang Autoshow 2026 adalah satu detik bersejarah memandangkan ini adalah penyertaan sulung kami sejak Hyundai Motor beroperasi secara terus di Malaysia.

“Kami komited membawakan gaya hidup automotif melangkaui jangkaan, selaras dengan janji jenama kami — Sentiasa di sisi anda,” ulas Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia.

Selain model siri N, Hyundai turut mempamerkan barisan kenderaan premium sedia ada seperti Santa Fe, Tucson, dan Staria.

Tempahan bagi model berprestasi tinggi ini boleh dibuat menerusi pengedar sah Hyundai N iaitu Sime Darby Auto Hyundai (Tengah), Goh Brothers Motor (Utara), dan Heng Lian Enterprise (Malaysia Timur).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here