
Tindakan Norway menarik balik lesen eksport sistem peluru berpandu tentera laut yang dijual kepada Malaysia mendedahkan kemampuan Amerika Syarikat (AS) dalam membatalkan perjanjian senjata antara dua negara berdaulat lain dengan hanya menyekat komponen yang dibekalkan oleh industrinya sendiri.
Penganalisis mengesyaki bahawa giroskop yang digunakan dalam sistem Naval Strike Missile (NSM) buatan Kongsberg Defence & Aerospace serta komponen buatan AS yang lain menjadi punca mengapa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak akan menerima senjata yang telah dipersetujui.
Malaysia dilaporkan telah membayar hampir GBP 126 juta (RM671.58 juta) di bawah perjanjian pada tahun 2018.
Sementara itu, Associated Press (AP) melaporkan Kementerian Luar Norway mengesahkan telah menarik balik lesen eksport sistem peluru berpandu kepada TLDM.

Pihak kementerian menyatakan bahawa penjualan teknologi pertahanan paling sensitif miliknya kini dihadkan kepada negara sekutu dan rakan kongsi terdekat sahaja.
Tindakan tersebut menyekat penghantaran sistem Naval Strike Missile (NSM) serta komponen pelancar yang sepatutnya digunakan untuk program Kapal Tempur Pesisir (LCS) Malaysia, sekali gus mencetuskan bantahan keras Kuala Lumpur.
Dalam maklum balas kepada pertanyaan agensi berita AP, Kementerian Luar Norway menyatakan pihak kerajaan memperketat pengawasan teknologi pertahanan sebagai tindak balas kepada perubahan besar dalam landskap keselamatan di Eropah dan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Eksport beberapa teknologi pertahanan buatan Norway yang paling sensitif akan dihadkan kepada sekutu dan rakan kongsi terdekat kami sahaja.
“Adalah amat dikesali kerana perkara ini memberi kesan kepada Malaysia,” kata kementerian itu.

Malaysia telah menandatangani perjanjian untuk sistem peluru berpandu anti-kapal NSM pada 2018 dengan syarikat Norway, Kongsberg Defense & Aerospace. Peluru berpandu tersebut bertujuan untuk melengkapkan armada kapal tempur pesisir baharu di bawah program pemodenan tentera laut yang lebih luas.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menyatakan telah menyampaikan bantahan keras Malaysia ketika panggilan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store.
Beliau menegaskan tindakan Oslo akan menjejaskan kesiapsiagaan operasi Malaysia dan menimbulkan keraguan terhadap kebolehpercayaan rakan pertahanan Eropah jika perjanjian yang telah ditandatangani boleh dibatalkan secara unilateral.
“Kontrak bukanlah konfeti untuk ditaburkan mengikut sesuka hati.
“Jika pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka berhak untuk mungkir janji tanpa sebarang hukuman, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan hilang begitu sahaja,” ujar beliau.
Kementerian Luar Norway menyatakan bahawa Store telah menjelaskan keputusan tersebut kepada Anwar semasa panggilan telefon tersebut. Di sebalik sekatan itu, Norway menegaskan amat menghargai hubungannya dengan Malaysia dan berharap dapat meneruskan kerjasama serta dialog konstruktif dengan pihak berkuasa Malaysia.
Malaysia dilaporkan telah membayar 95 peratus daripada nilai kontrak dan kini sedang meneliti pilihan undang-undang serta kemungkinan tuntutan pampasan berhubung pembatalan penghantaran tersebut.
































