
Kapal Diraja (KD) Pari yang pernah memainkan peranan penting dalam Op Daulat bagi mengekang pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 2013, mengakhiri perkhidmatan secara rasmi selepas 49 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Majlis Pelucutan Tauliah KD PARI telah disempurnakan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi bin Idris bertempat di Jeti Pangkalan TLDM Sandakan, pada Jumaat.
Menurut kenyataan media, KD Pari berkekuatan akhir seramai 38 orang terdiri dari tiga Pegawai dan 35 Anggota Lain-lain Pangkat diketuai Lt Muhamad Zulhazreen Fazin TLDM selaku Pegawai Memerintah.

“Kapal tersebut dilancarkan pada 1975 di Limbungan Hong Leong-Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang dan ditauliahkan pada tahun 23 Mac 1977.
“Menggunakan panggilan antarabangsa 9MJO dan nombor pennant 3510, ia diletakkan di bawah Skuadron Fast Attack Craft (GUN) bersama enam buah kapal ronda di bawah Kelas Jerong.
“Pada tahun 2019, Skuadron Fast Attack Craft (GUN) telah ditukarkan kepada Skuadron Kapal Ronda Laju Ke-6 (SKRL-6) dan diletakkan dibawah naungan Markas Wilayah Laut 2 bagi menjalankan tugas rondaan di Pantai Timur Sabah,” menurut kenyataan.

Sepanjang 49 tahun perkhidmatan, KD Pari telah belayar sejauh 397,190,768.5 batu nautika dan terlibat dengan pelbagai operasi penting. Ia juga berperanan penting dalam menyokong misi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
KD PARI telah menjalani naik taraf melalui program Repowering pada tahun 2022, namun sejajar dengan proses permodenan Armada TLDM seperti yang telah digariskan dalam Pelan Transformasi TLDM 15to5 dan perancangan Phasing Out bagi aset sedia ada, KD PARI menjadi kapal pertama daripada Skuadron ini yang dilucutkan tauliah.






























