
Yamaha memperkenalkan kemas kini besar untuk Tricity 300 (2026), termasuk rekaan badan lebih tajam, serta bantuan tunggangan dipertingkat.
Paling menarik, skuter tiga roda ini didatangkan dengan beg udara terbina, pertama kali digunakan pada model produksi Yamaha dan dibangunkan bersama pakar keselamatan Sweden, iaitu Autoliv.
Menurut Autoliv, teknologi ini membawa perlindungan tahap tinggi kepada lebih ramai penunggang, bukan lagi terhad kepada motosikal premium.
Sistem beg udara ini berfungsi sama seperti apa yang terdapat pada kereta, namun ia direka bertujuan untuk melambatkan momentum penunggang yang tercampak, dan menyerap tenaga yang boleh menyebabkan mereka terpelanting ke depan.
Sistem beg udara sudah wujud pada Honda Gold Wing sejak 2006, namun harga jualannya jauh lebih mahal.
Dengan adanya ciri keselamatan terbaharu ini menjadikan Tricity 300 skuter yang lebih selamat dan lebih mampu milik untuk tunggangan harian.
Antara ciri keselamatan lain termasuklah:
- sistem pengukuran inersia (IMU)
- Unified Braking System
- kawalan cengkaman
Yamaha Tricity 300 (2026) mendapat kemas kini rekaan menampilkan muka depan yang lebih runcing, lampu posisi LED bertingkat menegak, serta lampu belakang yang direka semula.
Kokpit pula mendapat skrin paparan berkembar, terdiri daripada skrin TFT berwarna 4.2 inci serta skrin LCD 2.8 inci, lengkap dengan sokongan aplikasi Yamaha MyRide, dan navigasi Garmin StreetCross.
Skuter ini dikuasakan oleh enjin 292 cc Blue Core (piawaian Euro 5+) yang dipadankan dengan transmisi CVT, serta unit peredam ekzos yang mempunyai susun atur katalis baharu yang lebih ringan.
Ciri praktikaliti Tricity 300 termasuklah ruang bawah pelana 45 liter, brek parkir, kunci pintar, slot pengecasan USB Type-C, serta sistem Standing Assist untuk menegakkan skuter ketika berhenti.
Yamaha Tricity 300 dijual pada harga £8,780 (RM45,717) dan boleh didapati dalam pilihan warna Milky White, Zen Green dan Power Grey.

































