Utama Berita Automotif Kapal Thailand kena bedil peluru berpandu Iran

Kapal Thailand kena bedil peluru berpandu Iran

190

Sebuah kapal pengangkut pukal menggunakan bendera Thailand diserang peluru berpandu Iran berhampiran Selat Hormuz, pada Rabu.

Tentera Laut Diraja Oman berjaya menyelamatkan 20 krew warga Thailand yang meninggalkan kapal menggunakan rakit penyelamat lalu di bawa ke daratan di Khasab manakala tiga lagi masih berada di atas kapal, menurut Tentera Laut Diraja Thailand.

Kapal Mayuree Naree (IMO 9323649) dikendalikan oleh Precious Shipping Plc yang disenaraikan di Bursa Saham Thailand (SET) dilaporkan berlepas dari Pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuju ke pelabuhan Kandla di Gujarat, India.

Ia diserang kira-kira jam 11.10 pagi waktu Thailand selepas melintasi selat tersebut, kata Pusat Kawalan Trafik Maritim dan Kapal Tentera Laut.

Dua projektil terkena bahagian atas garisan air yang mencetuskan letupan pada struktur bahagian belakang kapal dan di dalam bilik enjin. 

Serangan itu merosakkan bilik enjin sehingga menyebabkan kebakaran. Precious Shipping melaporkan tiga krew yang masih berada dalam ruangan berkenaan dipercayai terperangkap. 

Unit tentera laut Oman sedang berusaha untuk membantu baki tiga anak kapal tersebut, kata tentera laut Thailand.

“Butiran khusus dan punca serangan sedang dalam siasatan,” tambahnya.

Kapal Thailand yang mengalami kerosakkan paling teruk itu antara tiga buah kapal yang terkena projektil di dalam atau berhampiran kawasan Selat Hormuz, menurut agensi keselamatan maritim dan sumber pada hari Rabu.

Iran mengaku bertanggungjawab

Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada hari Rabu mengaku bertanggungjawab atas dua daripada serangan tersebut.

“Kapal Express Rome milik Israel yang mengibarkan bendera Liberia, dan kapal kontena Mayuree Naree, telah terkena projektil Iran dan dihentikan selepas mengabaikan amaran pasukan tentera laut IRGC,” kata Pengawal tersebut dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita ISNA Iran.

Komander Pengawal Tentera Laut, Alireza Tangsiri melalui satu hantaran di media sosial X berkata kapal yang berhasrat untuk melintas Hormuz mesti mendapatkan kebenaran daripada Iran.

Insiden ini berlaku di tengah-tengah ketidakstabilan yang memuncak di rantau itu. Trafik yang melalui Selat Hormuz telah berkurangan secara mendadak sejak serangan udara Amerika dan Israel ke atas Iran. 

Menurut Reuters, firma keselamatan maritim menyatakan sekurang-kurangnya 14 buah kapal telah diserang di rantau tersebut sejak konflik berkaitan Iran memuncak pada akhir Februari.

Tentera laut Thailand berkata ia sedang berkoordinasi melalui ibu pejabat Gabungan Pasukan Maritim di Bahrain, berhubung dengan kedutaan Thailand di Bahrain, UAE, dan Oman, serta bekerjasama dengan Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO) untuk menyokong usaha mencari dan menyelamat anak kapal Mayuree Naree.

Tentera laut juga memaklumkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Konsular di Kementerian Luar Negeri, Jabatan Laut dan Pusat Penguatkuasaan Komando Maritim Thailand untuk membantu kesemua 23 anak kapal dan mengatur kepulangan ke Thailand.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Thailand pada Rabu, Precious Shipping berkata Mayuree Naree dilindungi oleh insurans risiko perang. Oleh itu, syarikat tidak menjangkakan insiden tersebut akan memberikan kesan kewangan. 

“Tiada kehilangan kargo berlaku memandangkan kapal tersebut sedang berlayar tanpa muatan.

“Syarikat terus memantau dengan teliti situasi keselamatan di kawasan berisiko tinggi dan akan menyemak semula prosedur pengurusan risiko pelayaran mengikut kesesuaian,” tambah kenyataan itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here