
Lebih 100 premis dan gerai di pekan Sungai Golok yang sebelum ini aktif menjual petrol RON95 seludup dari Kelantan, hampir lumpuh selepas bekalan bahan api itu dipercayai terputus sejak bulan lalu.
Tinjauan Berita Harian di sekitar pekan Sungai Golok mendapati, gerai yang sebelum ini meriah dengan pelbagai jenis petrol seludup kini sepi, selain banyak gerai kini ditutup.
Sepanjang tinjauan selama tiga jam itu, hanya tiga premis dikesan masih menjual bekalan petrol namun peniaga terpaksa mencatu jualan hanya satu liter bagi setiap pembelian memandangkan bekalan yang ada hanya beberapa liter.

Malah, harga jualan juga meningkat selepas bekalan terbabit sukar diperoleh iaitu antara THB 38 (RM4.35) hingga THB 40 (RM4.77) bagi satu liter, berbanding hanya THB 20 (RM2.40) sebelum ini.
Kebanyakan gerai juga tidak memaparkan harga seperti kebiasaan kerana harga jualan kini berbeza-beza mengikut jumlah bekalan petrol yang ada.
Situasi itu begitu ketara jika dibandingkan ketika tinjauan sama dilakukan pada November tahun lalu apabila setiap gerai meriah dengan jualan petrol seludup dalam pelbagai saiz sama ada satu liter, 10 liter atau 20 liter.
Jika sebelum ini, minyak seludup dari Malaysia itu bukan hanya dijual di sekitar Pekan Golok, sebaliknya sehingga ke Pattani iaitu tempoh perjalanan mengambil masa lebih dua jam dari Sungai Golok.
Penduduk di pekan berkenaan mendakwa hanya beberapa gerai masih mempunyai bekalan, namun jumlahnya terpencil dan jika ada sekalipun hanya mampu bertahan satu atau dua jam berikutan permintaan tinggi walaupun harga semakin meningkat.
Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati bekalan petrol di negara berkenaan kini kembali pulih dengan tiada lagi jualan dihadkan untuk jumlah tertentu berbanding sebelum ini.































