
Pengurus sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan mengakui berlaku kecuaian di pihaknya berkaitan kes kuota BUDI95 seorang pengguna yang lesap apabila MyKad digunakan individu yang tidak bertanggungjawab.
Mohamed Rusdi Md Nasir, 36, berkata sistem penggunaan BUDI95 memberi kelonggaran untuk nombor MyKad pengguna diisi secara manual apabila terdapat kes kecemasan seperti cip tidak boleh dibaca.
Menurutnya, ketika kejadian individu yang tidak dikenali itu mahu mengisi petrol namun mendakwa MyKad miliknya tertinggal.
“Jadi dia beri nombor MyKad dan mahu membuat pembelian tangki penuh.
“Kami akui berlaku kesilapan kerana membenarkan pembeliannya tanpa menunjukkan MyKad fizikal.
“Kami juga tidak alert (peka) jumlah pembeliannya sebab ramai pelanggan ketika itu,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, portal berkenaan menyiarkan laporan mengenai seorang usahawan yang mendapati kuota miliknya digunakan pihak lain tanpa kebenaran dengan sejumlah 122 liter dibeli melalui dua transaksi.
Mohd Fadhli Noor, 39 berkata transaksi yang menggunakan kuotanya itu berlaku di sebuah stesen minyak di Tumpat pada 6 April lalu. Pada waktu dan tarikh tersebut dia berada di Kuantan, Pahang.
Menyedari kejadian itu, dia membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kes tersebut.
MASIH PERLU TUNJUK MYKAD

Sementara itu, Mohamed Rusdi berkata, pihaknya juga sudah diberi penerangan mengenai garis panduan penjualan bahan bakar dan diingatkan tidak boleh melakukan transaksi BUDI95 kepada pelanggan yang gagal mempamerkan MyKad.
Katanya syarat mengemukakan MyKad ditetapkan walaupun ia didakwa mengalami kerosakan.
“Kalau sebelum ini ada kelonggaran, pada hari kejadian itu saya diberikan taklimat oleh pihak KPDN mengenai perkara berkenaan.
“Kemudian saya maklumkan kepada kakitangan stesen supaya patuh garis panduan baru ini.
“Pihak kami juga menyatakan kesediaan untuk menggantikan semula kerugian yang dialami mangsa,” ujarnya.






























