
Suzuki Every merupakan salah satu kei van yang cukup popular di Negara Matahari Terbit Jepun selain model kembarnya seperti Nissan Clipper, Mitsubishi Minicab, Daihatsu Hijet/Attrai dan Subaru Sambar Van.
Model tahun 2026 diberikan kemas kini ringan terutama pada bahagian kosmetik dan keselamatan.
Di bahagian luar, Suzuki Every didatangkan dengan bampar baharu dan jeriji yang lebih tebal.
Varian Every Wagon pula lebih garang dengan lampu utama yang digelapkan, kit badan agresif, jeriji yang lebih besar, bukaan bampar yang lebih tajam, skirt sisi dan spoiler bumbung.
Varian flagship Every J Limited juga hadir dengan bampar depan baharu, kemasan hitam berkilat pada beberapa tempat, serta pelekat hiasan outdoor.
Tidak ketinggalan, katalog aksesori yang menyediakan pelbagai kelengkapan untuk aktiviti perkhemahan dan trip hujung minggu.
Untuk ruang kabin, Suzuki Every diberikan tema hitam secara keseluruhan, sementara meter analog telah digantikan dengan kluster digital sebagai standard.
Terdapat opsyen untuk memasang skrin infohibur 9-inci lengkap dengan fungsi navigasi, kamera 360 darjah, serta fungsi pemanas roda stereng.
Suzuki turut menambah bahan penyerap getaran khas bagi mengurangkan bunyi bisng masuk ke ruang kabin.
Ruang kargo pula didatangkan dengan lampu LED standard, di mana ruang tersebut boleh disesuaikan untuk apa jua muatan.
Akhir sekali, terdapat ciri keselamatan seperti Dual Sensor Brake Support II, kawalan jelajah adaptif, pengelakan keluar lorong aktif dan penderia parkir depan/belakang.
Suzuki Every masih mengekalkan enjin tiga-silinder 660 cc yang mampu menjana kuasa 48 hp (pilihan transmisi manual 5-kelajuan/CVT) untuk versi NA, atau 63 hp untuk versi turbo (CVT, pilihan RWD atau 4WD).
Di Jepun, Suzuki Every dijual pada harga ¥1,343,100 (RM33,427) untuk varian asas, sementara varian paling mahal dengan bumbung tinggi pula dijual pada harga ¥2,264,900 (RM56,369).
Terdapat juga Suzuki e-Every dengan sistem pacuan elektrik sepenuh masa dengan tag harga ¥3,146,000 (RM78,303).
Van elektrik mini versi rebadge daripada Daihatsu e-Hijet Cargo (dan Toyota Pixis Van BEV) ini dipacu motor elektrik tunggal pada roda belakang menghasilkan 63 hp dan 126 Nm.


































