
Sebuah kapal tangki minyak Jepun menjadi yang pertama tiba di negara itu selepas melalui Selat Hormuz sejak bermulanya perang Iran.
Kapal tangki yang dikendalikan oleh sebuah syarikat penapis minyak utama, Idemitsu Kosan Co, membawa 2 juta tong minyak mentah bersamaan dengan kira-kira 80 peratus daripada permintaan domestik harian ke Wilayah Aichi di tengah Jepun, menurut sumber.
Dilaporkan anak kapal termasuk tiga warga Jepun berada dalam keadaan sihat.
Selepas penutupan selat itu oleh Iran, kerajaan Jepun telah meminta negara berkenaan untuk memastikan laluan bebas dan selamat melalui Selat Hormuz bagi kapal-kapal dari semua negara. Pada masa ini, banyak kapal masih terkandas di Teluk Parsi.

Menurut data daripada Sistem Pengenalan Automatik (AIS), Idemitsu Maru sebuah kapal berbendera Panama berukuran lebih 300 meter, telah memasuki Teluk Parsi pada akhir Februari sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
Kapal itu memuatkan minyak mentah di Arab Saudi dan bertolak pada awal Mac selepas selat tersebut disekat. Perjalanannya dihentikan seketika di luar pantai Abu Dhabi, namun berjaya melepasi Selat Hormuz pada 28 April.
Sumber menyatakan bahawa kapal tersebut tidak membayar sebarang yuran transit kepada Iran. Selepas keluar dari Teluk Parsi, kapal berkenaan melalui perairan berhampiran India dan Selat Melaka sebelum tiba di Jepun.
Sebuah lagi kapal tangki minyak daripada syarikat gergasi Jepun yang lain, Eneos Holdings Inc, turut dilaporkan telah melepasi Selat Hormuz pada pertengahan Mei dan dijangka tiba di Jepun antara akhir Mei hingga awal Jun ini.































