Utama Berita Automotif Nissan Clipper Truck masih dapat ciri baharu walaupun sudah 13 tahun di...

Nissan Clipper Truck masih dapat ciri baharu walaupun sudah 13 tahun di pasaran

6

Toyota Hiace Mk5 dan Land Cruiser 70 Series merupakan antara contoh model kenderaan yang masih lagi bertahan di pasaran sehingga kini.

Di Jepun, satu lagi model yang sudah lebih sedekad dijual kini dikemas kini dengan beberapa ciri yang lebih moden, iaitu kei truck Nissan Clipper.

Nissan Clipper diperkenalkan pada tahun 2003, dan pada asalnya merupakan versi ubah lencana daripada Mitsubishi Minicab.

Generasi kedua pula dilancarkan pada tahun 2013 dengan menggunakan asas daripada Suzuki Carry.

Antara perubahan yang dibuat pada Nissan Clipper (2026) ini termasuklah unit lampu utama LED yang lebih kecil, diikuti dengan bukaan liang bampar yang disemak semula, serta penambahan penderia ADAS.

Perubahan ini dilihat lebih mirip kepada apa yang ditawarkan pada Suzuki Carry, hanya logo sahaja yang membezakan kedua-dua model tersebut.

Masuk ke dalam ruang kabin, ia masih lagi didominasi oleh plastik keras di serata tempat.

Cuma, ia kini hadir dengan meter digital baharu, serta dulang kecil untuk meletakkan barang.

Di bahagian tempat duduk penumpang disediakan tempat meletak cawan berbentuk segi empat dan slot pengecasan USB.

Pembeli juga boleh menambah ciri opsyen skrin infohibur sebesar 8-inci.

Ciri ADAS yang ditambah pada Clipper Truck ini termasuklah pengelakan keluar lorong, sistem pengecaman papan tanda trafik, kawalan salah operasi pedal dan juga brek kecemasan pintar.

Nissan Clipper Truck masih mengekalkan enjin tiga silinder sebaris 658 cc menghasilkan 50 hp dan 59 Nm, diikuti dengan padanan transmisi manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.

Harga jualan trak kecil ini bermula dari ¥1,344,200 (RM34,559), sedikit mahal berbanding kei truck Suzuki Carry yang berharga ¥1,172,600 (RM30,147).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here